Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Janna Nick memohon maaf kepada pihak yang terasa hati dan terguris dengan kontroversi dia didakwa mempersenda anggota kumpulan popular Korea Selatan, BLACKPINK iaitu Lisa Manoban dengan nama Lisa BLACKPIG di Instagram, baru-baru ini.

Janna dalam sidang media khas secara virtual hari ini berkata, dia tidak memaksudkannya dan memohon maaf terhadap perkara itu.

“Saya mengambil tanggungjawab ini untuk meminta maaf dengan seikhlas hati andainya terguris hati mana-mana pihak dengan kapsyen yang sudah dimuat naik itu,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, peguam mewakili Janna, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates yang memberi penjelasan terhadap isu tular berkenaan serta tindakan undang-undang yang bakal diambil pelakon itu.

Ben berkata, laporan polis sudah dibuat termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu yang masih lagi dalam siasatan lanjut.

“Anak guam saya (Janna Nick) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang menularkan semula video mendakwa dia mempersenda kematian seorang bintang K-Pop pada 2017 lalu.

“Sebelum ini, Janna juga sudah memberi penjelasan dan memohon maaf mengenainya, namun ditularkan semula di media sosial sehingga anak guam saya menerima pelbagai kecaman.

“Menerusi insiden berlaku ini, Janna menerima beberapa ugutan jenayah, ugutan bunuh, fitnah dan dakwaan palsu yang memerlukan tindakan serius diambil untuk keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, Janna dan peguamnya enggan mengulas lanjut kerana kes terbabit masih dalam siasatan dan dikategori atas ugutan jenayah.

Isnin lalu, Janna dalam kenyataannya menjelaskan sudah membuat laporan polis dan SKMM serta bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan fitnah, ugutan dan komen keterlaluan terhadapnya.

Janna turut menafikan dia menggelar atau menyamakan Lisa BLACKPINK sebagai Lisa BLACKPIG.

“Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai Lisa BLACKPIG adalah terpesong sama sekali. Sebagai seorang individu yang juga meminati budaya Korea Selatan dari segi industri hiburan, budaya, fesyen, makanan, teknologi, kecantikan dan pelancongan, tohmahan terhadap saya adalah sangat tidak berasas,” katanya.

Selain itu, Janna menjelaskan dia tidak pernah sama sekali mempersenda kematian penyanyi Korea Selatan, Kim Jong-hyun pada 2017.