Kuala Lumpur: Akaun media sosial Instagram milik pelakon popular, Janna Nick yang sebelum ini dinyahaktif gara-gara kontroversi artis K-pop yang menjadi topik hangat netizen kembali aktif hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati Janna memuat naik dua hantaran baru dalam tempoh tiga jam hari ini.

Yang pertama dia mempromosikan drama terbaru lakonannya, Marry Me Senorita dan terbaru dia menulis luahan rasa untuk terus melakukan sesuatu secara berintergriti dan penuh kasih sayang.

“Anda takkan dapat kawal bagaimana orang menerima tenaga yang anda berikan. Semua yang anda lakukan atau katakan akan ditapis melalui mata orang yang melihat dan dikaitkan dengan apa yang mereka rasakan, yang tentunya bukan mengenai anda. Terus lakukan apa yang anda lakukan dengan penuh berintergriti dan penuh kasih sayang,” tulisnya yang memiliki 6.2 juta ‘followers’di Instagram.

Janna menutup hantaran itu dengan tanda hashtag #marrymesenorita. Dalam hantaran itu, Janna turut berkongsi fotonya yang bergaya sopan dengan bertudung.

Dalam tempoh dua jam, hantaran itu menerima hampir 85,000 tanda suka di samping komen-komen positif yang kini sudah ditapis.

Terdahulu, Janna didakwa mempersenda anggota kumpulan K-Pop BLACKPINK iaitu Lisa Manoban dengan menulis Lisa BLACKPIG dalam hantaran di Instagram menyebabkan dia diserang netizen dan peminat kumpulan itu sejak semalam.

Susulan itu, Janna membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan fitnah, ugutan dan komen keterlaluan.

Dalam masa sama, Janna turut menafikan dia menggelar atau menyamakan Lisa Manoban sebagai Lisa BLACKPIG.