PENYANYI popular, Wany Hasrita berkongsi cara untuk istiqomah dalam membaca al-Quran dan solat tahajud.

Wany, 28, atau nama sebenarnya Nursyazwany Hasrita Hasbullah membuat perkongsian itu bagi menjawab soalan diajukan peminat pada sesi soal jawab yang dimuat naik di Instagram Stories, semalam.

“Saya rasa semua orang pun ada masalah sama dan begitu juga saya. Tapi, langkah pertama kena buat dulu dan paling menarik jadikan ia jadual.

“Sebagai contoh, buat langkah demi langkah. Paling senang, selepas Maghrib jangan biasakan buka telekung tapi terus ambil al-Quran. Sekurang-kurangnya baca surah yang kita sudah biasa.

“Orang biasanya baca surah hujung yang pendek. Tak ada masalah, baca saja. Bagi saya, selepas Maghrib akan baca surah al-Waqiah. Masuk waktu Isyak terus solat sebab jarak antara dua solat ini tak lama,” katanya.

Menurut Wany, dia juga membiasakan diri bangun jam 4 pagi jika mahu menunaikan solat tajahud.

“Tips nombor satu jangan buka telekung. Kemudian, cuba bangun jam 4 pagi. Perkara ini semua proses yang mana kita kena buat setiap hari atau kena buat dulu. Nanti lama kelamaan, kita akan rasa janggal kalau tak buat satu benda yang biasa kita buat.  Jadi, semoga berjaya dan kita semua pun kena lawan,” katanya.