JUARA Mentor musim keempat (Mentor 4), Mohamad tidak mahu golongan artis bersikap terlalu meminta bantuan daripada kerajaan ketika tempoh sukar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi penularan virus Covid-19.

Mohamad pada luahannya di Facebook berkata ada ramai lagi orang yang lebih layak menerima bantuan kerajaan.

“Hi, saya Mohamad juara Mentor 4, okay. Saya ini artis tetapi tak meminta-minta pun bantuan pada kerajaan kerana sedar ada orang lain lebih layak memerlukan bantuan”

“Walaupun kehidupan ini tidak selalunya indah itu yang membuat saya terus berusaha mencari rezeki buat keluarga kerana masih mampu dan kuat.

“Kadang-kadang bila tiada ‘job’ untuk show, saya akan buat e-hailing seperti Grab, Mycar dan sebagainya. Saya tak malu pun bawa Grab, sebab rezeki itu ada dimana-mana yang penting usaha,” tulisnya.

Menerusi perkongsian itu, bekas protege Ziana Zain ini memberitahu gembira dengan kerjaya pilihannya sekarang.

“Seronok bawa e-hailing ini, jumpa macam-macam orang. Kalau ada penumpang nak saya menyanyikan lagu boleh je yang penting anda terhibur dan sampai ke destinasi yang dituju. Jangan lupa bagi 5 bintang ya.

“Hidup ini jangan sombong, tak rugi pun rendah diri kerana kehidupan ibarat roda yang berpusing. Kadang di atas, kadang dibawah. Orang cerdik boleh salah, orang pintar boleh gagal dan orang hebat pun boleh jatuh.

“Arwah abah saya pernah pesan, kalau tak boleh memberi jangan la kita meminta-minta. Cuba berusaha dahulu, InshaAllah akan dipermudahkan,” tulisnya lagi.

Mohamad yang berkahwin pada Oktober 2017, mengakui sudah lama hidup susah sebelum PKP diperkenalkan dan tidak pernah meminta ‘bantuan khusus’

“Terima kasih kerajaan Malaysia, duit keluarga dapat, e-hailing dapat dan macam-macam lagi itu pun dah bersyukur sangat. Bersyukur akan membawa kita kepada jalan kemudahan,” katanya.

Perkongsian Mohamad itu menerima lebih 6,000 sukaan dan dikongsi lebih 1,000 pengguna Facebook.

Mohamad atau nama sebenar Mohd Izwan Mohd Nor pernah menghasilkan beberapa lagu antaranya berjudul Segala namun gagal mendapat tempat dihati pendengar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan