DIKECAM hebat kerana melakukan tarian dengan pakaian mencolok mata di aplikasi Tik Tok, penyanyi, Shalma Eliana meminta supaya masyarakat tidak menghakimi seseorang itu berdasarkan apa yang dikongsi di media sosial.

Shalma, 20, berkata dia meneliti setiap komen yang ditulis dan terbuka untuk menerima teguran yang diberi secara berhemah.

“Saya tak nafikan, sebagai selebriti, kita kena ‘telan’ setiap komen yang diberi itu. Ada yang berikan komen positif dan ada juga negatif. Tapi, saya lebih selesa terima secara terbuka sekiranya komen bersifat teguran diberikan menerusi ‘Direct Message’.

“Lagi saya, kita tak kenal seseorang menerusi akaun media sosial itu. Jadi, masyarakat tak sepatutnya menghakimi berdasarkan apa yang dikongsikan di media sosial,” katanya kepada Harian Metro.

Shalma berkata dia juga ada beberapa kenalan yang gila-gila dan suka cakap lepas di media sosial, namun secara peribadi tidak seperti itu.

“Ada kawan-kawan yang saya kenal nampak gila-gila dan suka cakap lepas di media sosial. Tapi, bila kenal dan berkawan dengan mereka, keperibadian sebenar bukanlah seperti yang diperlihatkan di media sosial.

“Ini tidak. Bahkan, ada yang menghina dengan pelbagai kata-kata kurang elok termasuklah menganggap saya seperti tidak ada agama,” katanya.

Untuk menjernihkan keadaan, Shalma memadam video tariannya itu kerana tidak mahu bersikap pentingkan diri sendiri.

“Saya tak nak fikir pasal diri sendiri saja. Ada warganet yang sampai ‘tag’ kakak dan orang terdekat untuk mengaibkan saya. Jadi, saya rasa lebih baik padamkan saja video itu,” katanya.

Video tarian itu dimuat naik Shalma tiga hari lalu dan menerima kecaman hebat apabila dia mengenakan pakaian yang mencolok mata, sekaligus menjadi bualan warganet.