PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi menjelaskan, berlaku salah faham terhadap cadangan Bantuan Khas Covid-19 Penggiat Seni Malaysia (COVIDSENI-2020) yang dibentangkan mereka kepada kerajaan sehingga menimbulkan pertikaian pada kalangan banyak pihak.

Menurutnya, kertas cadangan itu sebenarnya disiapkan dan dibentangkan terlebih dahulu sebelum kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

“Ini salah satu inisiatif karyawan seni yang dibuat mengikut saluran yang betul, merangkumi proses dan prosedurnya.

“Cuma, ketika itu kerajaan belum memperkenalkan lagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apapun, kami dah dapat maklumat awal berkenaan pembentangan terbabit, jadi kami cadangkan apa yang dimahukan dalam kertas kerja dibuat,” katanya.

Zed berkata, kertas kerja cadangan itu dibuat menerusi input yang diambil daripada pandangan ahli berkenaan apa yang dikehendaki dan perlu dilakukan.

“Mereka usulkan pelbagai pandangan dan sebagai persatuan yang menjadi penghubung kepada agensi kerajaan seperti diminta oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kami berilah cadangan.

“Sama ada terima atau tidak bukanlah isu. Cuma kami sampaikan pandangan yang diluahkan oleh akar umbi. Macam-macam pandangan diterima dan kami masukkan semuanya dalam kertas kerja cadangan ini.

“Ia juga bersesuaian dengan keadaan sekarang. Malah, apabila kami siapkannya, pengumuman belum dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Zed, cadangan awal diperingkat persatuan dan agensi kerajaan ini seterusnya dibawa ke Kementerian Kewangan Malaysia

(MoF) untuk dibuat penilaian.

“MoF akan tengok mana-mana yang bersesuaian, boleh atau tidak. Kalau tak boleh, mereka akan buat pertimbangan letakkan kami di mana dan barulah PM akan umumkan.

“Selalunya begitulah yang dilakukan termasuk ketika belanjawan yang mana kerajaan akan ambil kira pandangan penggiat seni merangkumi persatuan dan ahli-ahli akar umbi.

“Begitulah prosesnya. Itu adalah cadangan sebelum pembentangan dan kami juga akur apabila PM meletakkan golongan artis dalam kategori B40 dan M40,” katanya.

Ujarnya lagi, yang menjadi isu sekarang apabila pihak tertentu sengaja memanipulasi perkara ini sehingga menimbulkan salah faham.

“Dalam keadaan sekarang, ada juga artis yang nak bantu kalangan penggiat seni lain, tapi niat mereka disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu untuk dapat ‘view’ yang tinggi dalam keadaan PKP yang masuk hari ke-12.

“Jadi perkara-perkara ini yang menimbulkan kemeriahan di media sosial sekarang. Malah Facebook dan Instagram Seniman juga turut kena ‘spam’ kerana komen dan ketidakpuasan hati warganet.

“Pihak warganet sebenarnya tidak faham istilah penggiat seni. Ia bukan sahaja merangkumi artis tapi turut membabitkan tenaga kerja produksi, mekap artis dan sebagainya,” katanya.

Zed berkata, sehingga kini Seniman sudah banyak membantu menyelesaikan permasalahan pada kalangan penggiat seni yang mahu memohon bantuan menerusi saluran yang betul.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan