Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio Suria FM, Issey Fazlisham berkongsi khabar gembira apabila isterinya, Noor Aimi disahkan hamil empat bulan.

Issey atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin, berkata dia berasa syukur dan terkejut sebaik dimaklumkan isterinya.

“Alhamdulillah satu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan. Saya agak terkejut dan terharu apabila isteri memaklumkan dia kini hamil.

“Saya dan isteri bersepakat untuk tidak menghebahkan berita ini terlalu awal kerana kandungan ketika itu masih baru. Namun selepas membuat pemeriksaan di klinik dan doktor memberikan kad untuk pemeriksaan, barulah saya sedia kongsikannya.

“Walaupun ini adalah kehamilan keempat isteri tapi dia pun teruja sama sebab ini adalah anak pertama kami,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Issey dan Aimi berkongsi berita gembira terbabit di Instagram dan akaun rasmi YouTube miliknya dengan menyaksikan gelagat spontan tiga anak mereka, Muhammad Uqashah, Muhammad Qayyum, dan Cataleya Humairah.

Sebelum berkahwin dengan Issey, Aimi adalah ibu tunggal anak tiga hasil perkongsian hidup dengan arwah suami.

Ditanya mengenai reaksi anak-anak, Issey berkata, menerusi video yang dikongsikan di YouTube sebelum ini mereka kelihatan seperti tiada perasaan, namun hakikatnya mereka begitu teruja untuk mendapat adik baru.

“Kalau dilihat pada video yang dikongsikan memang seperti tiada perasaan atau ‘krik-krik’ tapi selepas itu macam-macam soalan mereka tanya kami.

“Insha-Allah Aimi dijangka bersalin pada bulan Ogos ini. Kami masih belum membuat keputusan sama ada Aimi bersalin di sini atau di kampung halaman kami di Kelantan.” Katanya.

Issey dan Aimi berkahwin pada 22 Disember  2019 di Kota Bharu, Kelantan.