TERPANGGIL dengan keperitan dialami segelintir penggiat seni yang hilang sumber pendapatan, mendorong Muzika Malaysia dan Konsortium Irama (IRAMA) mewujudkan Tabung Bantuan Kecemasan Kemalangan Rakan Artis.

Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid berkata tabung itu bertujuan membantu rakan artis yang hilang punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan virus Covid-19 dan ditimpa pula musibah kemalangan.

“Ini adalah detik yang paling sukar dilalui oleh penggiat seni. Tidak semua mereka hidup senang lenang seperti sangkaan ramai pihak.

“Ada yang bergantung hidup dengan menyanyi di kelab atau hotel, bergerak sebagai buskers dan ada yang hilang punca pendapatan apabila persembahan ditangguh atau dibatalkan.

“Justeru, kami merayu sumbangan segera dari rakan artis berkemampuan dan masyarakat awam yang prihatin bagi mengisi tabung ditubuhkan ini,” katanya.

Menurutnya, usaha yang digerakkan sejak semalam itu hingga kini sudah mendapat sokongan hampir 100 artis antaranya Ezad Lazim, Ameng Spring, Thalia Mentor, Afee Utopia, Acid Ekamatra dan Eddie Hamid.

“Kami tak menetapkan jumlah sumbangan dan terpulanglah berapa banyak yang nak dihulurkan sebagai bantuan.

“Penyata pendapatan dan perbelanjaan sumbangan itu akan dipaparkan di laman web Muzika Malaysia iaitu muzikamalaysia.com.

“Penyumbang juga boleh memilih samada untuk nama mereka dipaparkan atau dirahsiakan di laman web berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun CIMB Bank Berhad 8010-37-9060 atas nama Kongres Muzika Malaysia.

Pertanyaan boleh dibuat menerusi email [email protected] termasuk platform media sosial.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan