PELAKON Saharul Ridzwan mahu menjadikan jantina anak kedua yang bakal dilahirkan isteri, Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir sebagai satu kejutan.

Saharul, 31, atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata, dia mahu merasai saat-saat gembira itu sama seperti dalam drama Melayu.

“Dari awal lagi saya sudah maklumkan kepada doktor, jika boleh jangan beritahu jantina bayi dalam kandungan. Saya mahu ia menjadi satu kejutan.

“Jadi, setiap kali bawa isteri buat pemeriksaan, doktor sudah tahu dan dia diam saja. Dia hanya berkongsi mengenai tahap kesihatan bayi. Malah, isteri pun tidak tahu. Insya-Allah, apabila isteri selamat bersalin nanti khabar itu menjadi berita gembira dan ia satu kejutan buat saya,” katanya.

Saharul yang juga pelakon drama Camelia berkata, dia mengimpikan cahaya mata perempuan selepas mendapat anak sulung lelaki, Muhammad Luth Ali yang kini berusia tiga tahun.

“Kalau boleh memang nak anak perempuan, sebab yang pertama dapat lelaki. Tapi, saya tidak kisah pun seandainya dikurniakan anak lelaki. Ia tetap rezeki untuk saya dan isteri.

“Jadi, saya dan isteri boleh mencuba lagi untuk mendapatkan cahaya mata perempuan. Bagi soal pembelian barangan dan kelengkapan bayi, bagi saya ia tidak ada masalah.

“Setakat ini beli yang kedua-dua jantina boleh pakai. Ia lebih mudah. Lagipun, barangan Ali pun masih ada yang bagus dan boleh digunakan. Jadi, tidak perlu membazir,” katanya.

Saharul berkata, isterinya yang kini hamil tujuh bulan dijangka bersalin pada Jun ini.

“Alhamdulillah, keadaan isteri dan kandungan baik dan sihat. Cuma sekarang, dalam keadaan semasa ini dia memang duduk di rumah saja. Tidak

pernah pun keluar rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Saya juga tidak benarkan dia buat kerja rumah yang berat. Bagi dia berehat dengan cukup,” katanya.

Berkongsi lanjut, Saharul berkata sepanjang PKP ini dia belajar menjadi ‘suri rumah’ yang mana jarang dilakukan sebelum ini.

“Sebelum ini semua kerja rumah dibuat isteri. Tapi, sejak duduk di rumah saya yang buat semuanya. Sejujurnya, bukan mudah menjadi suri rumah. Baru saya tahu betapa susahnya tugas ini. Saya tabik pada semua wanita dan isteri yang menjadi suri rumah.

“Ditambah pula, Ali semakin aktif. Jadi, kena memberi fokus pada dia juga. Saya tidak boleh biarkan dia seorang diri bermain. Bimbang kalau barangan mainan bersepah dan tidak disedari isteri boleh mengakibatkan kemalangan pula,” katanya.