“SAYA diangkat dengan kerusi roda untuk buat persembahan. Walaupun tak larat, saya kena buat juga sebab memikirkan keperluan keluarga,” demikian kata Izam, bekas penyanyi kumpulan EYE yang terkenal pada era 1990-an.

Penderitaan penyanyi bernama sebenar Mohd Izam Arshad, 52, ini bermula apabila diserang angin ahmar sebaik pulang melakukan kerja dakwah di Kuantan, Pahang pada Jun tahun lalu.

Dia dikejarkan ke Hospital Serdang dan kemudian dibenarkan pulang untuk berehat dirumah sehingga keadaannya kembali pulih.

Izam yang dihubungi berkata, walaupun belum pulih sepenuhnya, dia terpaksa mencari rezeki untuk menampung keluarganya yang besar.

“Saya pergi juga menyanyi walaupun tak larat. Saya kena kerja. Adakala saya menyanyi berdiri tapi apabila tak larat saya akan duduk.

“Sehinggalah apabila pandemik Covid-19 berlaku mengakibatkan saya hilang segala punca pendapatan, sedangkan tanggungan saya besar.

“Saya ada dua isteri iaitu isteri pertama, Hayatie Rahmat dengan dikurniakan tujuh anak. Manakala isteri kedua pula, Rosmawati Hassan.

“Untuk sewa rumah saja kena sediakan lebih RM1,000. Tanggungan kesemuanya termasuk saya ialah 10 orang,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana baru-baru ini menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan sumbangan Konsortium Irama dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang disampaikan oleh Datuk Nash.

“Alhamdulillah, ada juga yang ingat saya dan bantu. Bagaimanapun ia masih belum mencukupi kerana saya juga perlu keluarkan kos rawatan dan ubat-ubatan.

“Dalam keadaan terdesak begini, saya fikir biarlah saya minta bantuan masyarakat, peminat EYE dan rakan-rakan.

“Sebelum ini tiada apa-apa masalah kerana saya ada pendapatan menerusi jualan minyak wangi dan menyanyi,” katanya.

Ezad menyedari tindakannya ini pasti akan mendapat kecaman daripada segelintir pihak terutama di Instagramnya izam_eye.

“Manalah nak tahu saya akan kena sakit begini. Orang pernah kata, dah tahu susah, sibuk nak kahwin dua. Anak dah tujuh pun masih nak kahwin lagi.

“Sebenarnya inilah jodoh saya yang saya tak tahu. Semuanya ditentukan Allah sebelum saya diciptakan lagi.

“Itulah kepercayaan kita sebagai orang Islam. Orang nak kata saya gatal itu terpulanglah,” katanya.

EYE mencipta populariti pada era 1990-an menerusi lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati, Kau Tetap Di Jendela Kenangan Ku, Bimbang Serumpun Kasih Terbuang dan banyak lagi.