PELAKON, penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah akan mengedarkan bantuan sumbangan beras kepada artis dan penggiat seni yang memerlukan bantuan, Jumaat ini.

Ifa ketika dihubungi berkata, dia mengambil inisiatif itu untuk membantu rakan artis dan penggiat seni secara peribadi.

“Saya tak kaya macam orang lain, jadi saya sumbangkan apa yang saya mampu iaitu dalam bentuk bantuan beras. Insya-Allah, kalau ada rezeki lebih, suami saya akan bekalkan beberapa barangan keperluan asas yang lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ifa, sejurus selepas berkongsi mengenai niat untuk memberi sumbangan itu, ada individu yang menghubunginya dan turut menyalurkan bantuan kewangan.

“Bila kita ada niat nak bantu orang, Allah permudahkan urusan kita. Ada seorang Hamba Allah yang menghubungi saya dan ingin menyalurkan bantuan kewangan untuk saya belikan beras.

“Saya keluarkan sedikit amaun daripada hasil perniagaan saya dan saya anggap ini sebagai sebahagian zakat daripada saya,” katanya.

Menurut Ifa, dia memilih untuk menyumbangkan beras kerana itu adalah makanan ruji yang penting.

FOTO ihsan FB Ifa Raziah
FOTO ihsan FB Ifa Raziah

“Kalau tak ada makanan lain, tapi ada beras pun sekurang-kurangnya kita dapat isi perut untuk buat nasi dan bubur. Jadi, saya rasa beras paling penting dan patut saya sumbangkan,” katanya.

Ifa juga turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang menghubungi setiap ahli dan mengambil berat.

“Zed ada hubungi saya secara peribadi dan bertanya sama ada saya memerlukan apa-apa bantuan dan saya jelaskan kepadanya yang keperluan harian saya masih lagi mencukupi.

“Mungkin ramai yang mengkritik Zed, tapi orang tak tahu usaha dan inisiatifnya untuk menjaga kebajikan setiap ahli persatuan.

“Sekarang bukan masanya untuk kita berbalah, tapi masanya untuk kita menjaga sesama kita,” katanya.

Ifa akan mula mengedarkan beras kepada artis dan penggiat seni yang benar-benar memerlukan bermula Jumaat ini di lokasi yang tertera di platform media sosialnya.