“SAYA akan jaga amanah Allah ini.

Mereka anak-anak istimewa,” kata pengacara Iesya Toh mengenai program menyelamatkan bayi tidak sah taraf yang dikendalikannya.

Iesya berkata, program yang diperkenalkan sejak julai tahun lalu itu mendapar maklum balas positif daripada golongan remaja terlanjur sehingga hamil luar nikah.

“Boleh dikatakan dalam sebulan, sekitar empat hingga lima gadis akan hantar mesej memberitahu mereka hamil. Ia sangat menyedihkan.

“Baru-baru ini, ada dua remaja hamil luar nikah menghantar mesej minta bantuan saya.

“Saya ada anak dan saya tahu perasaan keluarga mereka. Ia perkara yang paling menakutkan,” katanya memaklumkan hanya mengendali kes remaja tempatan.

Iesya berkata dia juga mengambil pendekatan menemui remaja terbabit dan bertanyakan perancangan mereka yang selanjutnya.

“Saya memang akan buat mereka selesa bercakap apa saja masalah dan terapkan perasaan sayang macam keluarga. Jika mereka nak pelihara sendiri bayi itu, saya akan ‘guide’ apa yang perlu dibuat.

“Dan jika mereka beritahu tak nak bayi dikandung itu, berikan pada saya dan ia akan diuruskan oleh sepenuhnya mengikut prosedur

“Saya ambil pendekatan cari rakan atau kenalan terdekat yang lebih lapan tahun kahwin tapi belum ada zuriat dan tanya jika mereka berminat ambil anak angkat,” katanya.

Iesya yang juga Naib Presiden Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, dia meletakkan syarat mewajibkan remaja ini ke klinik kesihatan kerajaan.

“Mereka kena ada buku merah jambu itu dan buat pemeriksaan rutin seperti biasa. Ia penting untuk kesihatan ibu dan bayi.

“Mereka juga kena jalani proses ‘follow up’ sehinggalah tiba hari bersalin. Ia perlu untuk kesihatan kedua-duanya.

“Saya akan bagi sokongan setiap hari serta tiupkan kata semangat bahawa Allah itu Maha Pengampun. Kita sesama manusia tiada hak nak hukum kesilapan orang lain,” katanya.

Iesya berkata, ada juga di antara remaja terlanjur berkenaan mengalami tekanan sehingga mahu membunuh diri.

“Kadang-kadang keluarga tak tahu hal ini, manakala teman lelaki pula lepas tangan. Di sini saya kena mainkan peranan dengan memberi nasihat.

“Selepas bersalin pula, saya akan bawa ibu dan anak buat MyKid serta dokumentasi sah bayi. Ia perlu untuk masa depan.

“Ini kerana kadangkala timbul isu pasangan yang ambil anak angkat tapi tak buat Mykid. Masalah ini berlarutan sehingga menyukarkan anak untuk bersekolah,” katanya.

Iesya tidak mahu berlaku sebarang masalah kemudian hari dan memastikan perkara ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Saya akan buat surat sumpah penjagaan antara remaja ini dengan keluarga angkat. Ini sangat penting. Selepas itu, saya akan ‘guide’ ibu bapa angkat untuk mahramkan anak angkat terbabit.

“Untuk proses ini, saya memang dapatkan pakar agama untuk beri maklumat. Memang ibu angkat perlu jadi ibu susuan buat bayi.

“Apapun, saya akan simpan data peribadi anak-anak ini supaya mereka tahu asal usul pada masa depan,” katanya bersyukur dapat sokongan penuh suami.