PENYANYI dangdut, Amelina yang selama ini merahsiakan kisah rumah tangganya akhirnya terbuka untuk berkongsi kisah itu selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.

Amelina yang membahasakan dirinya sebagai Kak Long berkata, dia pernah mengalami kemurungan ketika peringkat awal perceraian.

“Saya berkahwin pada 26 April 1999 dan bercerai pada 19 Jun 2016. Pejam celik, pejam celik, empat tahun saya ‘single’ dan bergelar ibu tunggal. Awalnya saya rasa murung, amat sedih dan hilang keyakinan diri. Adakah saya mampu dalam usia yang senja ini menanggung dan mencari rezeki untuk enam orang anak-anak yang sedang membesar,” katanya.

Penyanyi itu turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa bersama dengannya sepanjang proses perceraian berlangsung.

“Ramai yang nak tahu bila tarikh perkahwinan saya dan apabila saya memegang status ‘Janda Anak Enam’ atau ramai gelarkan saya sebagai JA6. Perceraian saya tidak kecoh kerana peguam saya menguruskan dengan baik dalam mengendalikan kes saya. Pada masa itu, saya dibantu Liza (isteri penyanyi dan komposer Ajai) dan adik saya, Joe,” katanya.

Dalam pada itu, Amelina juga mengajak masyarakat terutamanya golongan ibu tunggal supaya sentiasa berfikiran positif dan sentiasa yakin bahawa mereka bukanlah golongan yang dipinggirkan masyarakat.

“Saya sentiasa ingat dan yakin, golongan ibu tunggal ini sangat dipandang tinggi dalam masyarakat dan agama. Buktinya, saya sentiasa disayangi dan apa yang saya buat untuk mencari rezeki sentiasa mudah dan dipermudahkan. Apa yang penting, kena pandai jaga diri, sedar diri, sedar ruang, sentiasa merendah diri, jangan berhasad dengki dan berikan aura positif kepada orang sekeliling. Bahagiakan orang yang menyayangi kita dan kita kena yakin, kita dalam golongan yang sentiasa dilindungi Allah,” katanya.

Perkongsian itu dimuat naik di Instagram, hari ini bersama video pendek menampilkannya bersama peguam, Rizz Iskandar dan memperoleh lebih 18,000 tontonan.

Perkahwinannya dengan bekas suami Reduan Mahamood dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, 19; Putera Al’ Affiq, 18;  Putera Al’ Asyraff, 17; Puteri Nur’ Asyurah, 15; Putera Al’ Arffa, 13; dan Putera Al’ Amzar, 11.