PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi mengakui penyanyi dan pelakon, Bella Astillah memiliki kesucian hati yang jarang dimiliki ramai orang.

Heliza berkata, perkara itu membuatkan Bella mempunyai sifat pemaaf dalam diri sehingga mengambil keputusan untuk rujuk semula dengan suami, penyanyi, Aliff Aziz pada Julai lalu.

“Saya tabik Bella. Pertama kali saya jumpa Bella bersama ibunya tahun lalu dalam keadaan masya-Allah, Allah sayang sangat ketika itu dan saat sekarang juga.

“Saya belajar daripada Bella dari sudut kesucian hati. Tidak semua antara kita malah saya sendiri untuk punya hati lembut. Dan ciri-ciri orang masuk syurga adalah pemaaf. Baru-baru ini saya ada belajar dalam kitab talaqqi. Antara tiga perkara yang tanpa had, Allah bagi pahala tanpa had adalah pertama, orang yang memaafkan orang lain. Bayangkan orang maafkan orang lain Allah berikan pahala itu. Kedua, orag sabar Allah memberi ganjaran syurga. Ciri-ciri ini ada pada Bella.

“Saya kagum macam mana kematangan Bella boleh terima sesuatu perkara ketentuan Allah. Tidak semua mampu boleh lakukan seperti Bella. Bella sangat bersangka baik dengan apa yang Allah tetapkan. Apabila Bella bersangka baik, Allah betindak dengan sangkaan hamba-Nya,” katanya.

Heliza berkongsi perkara itu ketika muncul pada sesi siaran langsung yang dibuat Bella di Instagram, semalam.

Menurut Heliza, kita tidak sepatutnya melihat kelemahan dan kesalahan orang lain atas apa yang berlaku.

“Kita tidak tahu apa yang jadi. Penghujung kita macam mana. Kadang-kadang sekarang rasa okay dan tinggi iman, tapi tidak tahu hujung macam mana. Jadi, kita kena betul-betul jaga diri kita bagaimana pengakhiran kita. Tapi, masalah kita adalah suka lihat kelemahan dan kesalahan orang lain.

“Apa saya belajar daripada guru-guru saya, apabila berada dalam satu majlis ilmu, apa yang kita belajar adalah untuk diri kita dan tingkatkan diri kita. Apa yang tahu kita kongsi dan dalam masa sama memberi peringatan buat diri sendiri juga.

“Jadi, apabila kita nampak, Allah sudah tetapkan untuk Bella dan Aliff bersatu kembali, pasti akan ada hikmah. Saya ingat lagi, guru saya ada cakap jika seseorang itu dapat hadiah contohnya kereta, telefon, kita sebagai sunahnya, gembira bagi pihak dia.

“Jadi, apabila Allah hadirkan sesuatu perkara yang baik untuk Bella dan Aliff, hati yang bersih akan automatik doakan terus kebahagiaan mereka sampai ke syurga tanpa hisab dan azab. Sebab apa, kita juga perlukan doa orang lain. Kita pun nak orang lain doakan kita juga,” katanya.

Terdahulu, Bella mengesahkan sudah rujuk semula dengan Aliff pada Julai lalu selepas bercerai pada Mei. Malah, Bella berkongsi dia kini hamil.

 

Berita berkaitan

• Bella, Aliff Aziz rujuk Julai tahun lalu

• ‘Saya maafkan semuanya’

• Dah rujuk semula, Bella Astillah hamil