PELAKON Hasnul Rahmat memaklumkan dia disahkan negatif daripada jangkitan Covid-19 dan kini sedang menghabiskan waktu di rumah menjalani kuarantin diri.

Hasnul yang juga salah seorang pelakon drama Demi yang menjalani penggambaran di Scotland, baru-baru ini bersyukur apabila disahkan negatif penyakit itu.

“Alhamdulillah. Saya kini duduk di rumah sehingga tempoh kuarantin selesai esok seperti mana yang dimaklumkan menerusi surat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya, tempoh kuarantin tidak menjadi masalah buatnya memandangkan dia sudah biasa menghabiskan banyak masa di rumah.

“Kalau tidak ada penggambaran, saya akan duduk di rumah dan jarang keluar. Saya pun sudah terbiasa dengan keadaan begini kerana saya selesa di rumah. Yang pasti, walaupun bersendiri di rumah, banyak perkara kebaikan yang boleh dilakukan dalam tempoh ini,” katanya.

Pelakon filem Dukun itu juga sempat mengirimkan dua video pendek, masing-masing berdurasi 59 saat menunjukkan situasinya di rumah yang masih ceria walaupun dalam tempoh kuarantin.

Hasnul bersama 18 orang terdiri daripada kru dan pelakon pulang ke tanah air pada 31 Mac lalu. Bagaimanapun, lapan daripada mereka termasuk pengarah, Rahila Ali dan tiga pelakon, Puteri Aishah, Ashraf Muslim, pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyan Rayqa disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19