“SEBELUM ini saya sibuk beri bantuan untuk ringankan beban orang lain, tetapi sekarang saya pula yang perlu dibantu. Kelakar juga, namun saya reda kerana perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Untuk Ramadan ini, Alhamdulillah bekalan makanan untuk saya sekeluarga mencukupi dan tiada masalah.”

Demikian kata pelakon dan pelawak, Abd Rahman Kasim, 43, atau popular dengan nama Man Raja Lawak yang kini ‘terkurung’ dalam rumah apabila kawasan kediamannya di Apartmen Taman Sri Murni, Fasa 1, Selayang, Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 20 April lalu hingga 3 Mei ini.

Baru-baru ini, nama Man menjadi sebutan berikutan usahanya menyediakan wang sumbangan sebanyak RM50,000 untuk membantu golongan memerlukan akibat terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 28 Mac hingga 2 April lalu.

Sumbangan itu adalah sebahagian  daripada wang kemenangan Man selaku juara Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019) bersama kumpulan Puteh dianggotai Mamak dan Ali yang meraih hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.

Man ketika dihubungi berkata, apabila diperintah itu mula dilaksanakan, dia dan penduduk terkejut serta panik.

“Tak tahu nak buat apa kerana tiada persediaan. Malah, ada sebahagian penduduk sudah kehabisan bekalan makanan dan situasi ini memang tidak dijangka,” katanya.

Man berkata, semua penduduk tidak dibenar keluar sama sekali dan segala keperluan barangan harian akan diurus ahli jawatankuasa (AJK) penduduk dilantik.

Menurut Man, dia membeli rumah itu 13 tahun lalu dan menetap bersama isteri,  Azlina Awaludin, 43, serta dua anak iaitu Puteri Nur Darina, 16, dan Abdul Danish, 13.

Melihat situasi dihadapi, dia bercadang mahu mencari kawasan kediaman baru untuknya dan keluarga selepas Covid-19 berjaya dihapuskan.

Selain itu, turut tular di media sosial ialah video memaparkan penduduk kawasan itu termasuk Man beratur untuk membeli gas.

“Kalau barang makanan ada tetapi gas memasak pula tiada, tak boleh juga. Dapur tetap tak berasap dan sebagai ketua keluarga, saya kena keluar membeli. Beratur ramai-ramai kerana masing-masing menunggu kedatangan lori penghantar gas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan