PENGGIAT filem tempatan menyambut baik pengumuman dana lebih RM1.3 juta oleh kerajaan menerusi Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) untuk membantu penggiat industri kreatif dan seni, baru-baru ini.

Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 28 April ini akibat penularan pandemik Covid-19 ketika ini yang turut menyebabkan industri seni kreatif terjejas.

Penerbit dan pengarah filem, Opie Zami berkata, sebagai penggiat seni kreatif dia akan terus berkarya dan berharap supaya ada sinar buat filem tempatan menembusi pasaran luar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pengumuman dana ini bagi membantu pembikin filem tempatan. Inisiatif ini sedikit sebanyak memang membantu penggiat seni.Apapun, impian saya terhadap pemasaran filem tempatan ke luar negara sangat besar dan semoga dapat diberi perhatian. Untuk saya, usaha dalam berkarya akan tetap diteruskan,” katanya.

Menurut Opie, pemberian dana itu turut membantu pembikin filem tempatan sepanjang tempoh PKP ini.

Penerbit dan pengarah filem, Osman Ali berkata, penularan Covid-19 sangat hebat sehingga semua aktiviti penggambaran ditangguhkan.

“Saya ada perancangan untuk menghasilkan filem baru tahun ini. Namun, kini ditangguh dan tidak pasti bila akan dapat memulakan penggambaran. Ikut perancangan awal, penggambaran sepatutnya bermula sekitar Jun nanti. Tetapi, saya harus melihat dahulu sama ada keadaan Covid-19 ini dalam negara sudah betul-betul pulih,” katanya.

Osman turut mengucapkan tahniah kepada penerbit filem yang layak menerima dana bantuan itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menghubungi penerbit filem yang layak dalam masa terdekat bagi menguruskan pengagihan dana itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan kementerian, Saifuddin memaklumkan beliau ada mengadakan pertemuan sidang video dengan wakil persatuan dan penggiat seni pada 26 Mac lalu.

“Saya menerima pelbagai cadangan daripada warga penggiat seni termasuk pengkarya filem. Dalam hal ini, Finas mengusulkan cadangan khusus iaitu mengenai ITFC. Ia adalah suatu insentif bertujuan membantu dan menggalakkan penerbit filem terus menghasilkan filem tempatan,” katanya.

Katanya, ITFC diharapkan dapat membantu pembikin filem tanah air terus menerbit dan memasarkan hasil karya filem mereka untuk pasaran tempatan dan global.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha dan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ditanggung penggiat industri kreatif ketika tempoh pelaksanaan PKP ini.

Saifuddin berkata, beliau juga mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh dan meneliti beberapa laporan penting dalam usaha bersepadu untuk memperkasa industri kreatif negara.