SELEPAS lebih tiga tahun mendirikan rumah tangga, pengacara, Hani Fadzil berkongsi hamil empat bulan.

Hani yang berkahwin dengan suami, Wan Faiz menyifatkan ini waktu tepat untuk mereka menimang cahaya mata.

“Selepas lama berusaha mendapatkan zuriat, akhirnya rezeki sampai juga. Kehamilan ini memang tidak dijangka dan kami sangat bersyukur.

“Ketentuan dan rezeki Allah tidak pernah silap. Kebetulan pula sekarang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bolehlah saya beri tumpuan penuh menjaga kandungan ini selain kesihatan diri,” katanya.

Menurut pengacara Mpop itu, dia kini lebih banyak berehat sejak mengetahui kehamilan itu selain kurang melakukan kerja berat.

“Sebelum ini, saya memang sangat aktif menghadiri pelbagai acara dan memenuhi tuntutan kerja. Apabila di rumah, saya pun banyak buat kerja dan membantu keluarga.

“Bagaimanapun, sekarang saya betul-betul kena berehat demi menjaga kandungan,” katanya.

Hani dan suami bernikah pada 7 Julai 2017 dalam sebuah majlis yang berlangsung meriah di sebuah dewan acara terkemuka di Putrajaya.