PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun memperkenalkan program bual bicara secara langsung di Facebook dan Instagram dikenali sebagai HH Featuring.

Semalam, Hafiz menemubual bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan berkongsi pendapat mengenai krisis Covid-19 yang melanda dunia.

“Program itu diwujudkan untuk mengisi aktiviti harian saya bermula 21 April lalu. Jadi, semalam, saya berkesempatan menemubual Datuk Seri Najib dan berkongsi pendapat mengenai isu semasa,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hafiz, dia dan pasukan pengurusannya menyenaraikan beberapa nama yang sesuai untuk ditemubual.

“Saya dan pasukan pengurusan menyenaraikan beberapa nama ikon termasuklah pendakwah, pakar motivasi, artis dan ahli politik untuk ditampilkan dalam program ini.

“Selepas menghubungi pihak Datuk Seri Najib, tidak menjangka pula dia bersetuju untuk tampil bersama dan berkongsi pendapat,” katanya.

Berkongsi pengalamannya menemubual Najib, Hafiz mengakui berdebar.

“Saya pernah bertemu beliau sebelum ini, tapi memandangkan ini adalah sesi temu bual secara langsung, berdebar juga sekiranya ada beberapa perkara yang berlaku di luar kawalan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya mendapat maklum balas positif daripada penonton. Setakat ini, jumlah tontonan sudah mencecah lebih 200,000,” katanya.

Selain Najib, HH Featuring juga sudah menampilkan beberapa ikon lain antaranya, kumpulan nasyid Inteam dan karakter animasi Omar & Hana.