SELEPAS 16 tahun lagu Setanggi Syurga dilancarkan menerusi album In-Team ’04 pada 2004, istimewa buat seluruh peminat dan pencinta lagu nasyid, lagu itu dirakamkan semula dengan diberi nafas baharu yang lebih segar.

Kali ini, penyanyi asal kumpulan nasyid terkenal, Inteam berkerjasama dengan penyanyi muda popular, Khai Bahar dengan menghasilkan Setanggi Syurga 2020.

Bersempena menyambut kedatangan Ramadan tahun ini, syarikat rakaman 17Eleven Music secara rasmi melancarkan Setanggi Syurga 2020 berserta video muzik, baru-baru ini.

Muhammad Hazamin Harun yang juga anggota kumpulan Inteam berkata, kerjasama dengan Khai tercetus selepas kejayaan lagu Sesungguhnya kolaborasi antara Raihan dan Alif Satar tahun lalu.

“Selepas lagu Sesungguhnya kerjasama antara Raihan dan Alif Satar meletup pada Ramadan tahun lalu sehingga tular, kami melihat masih ramai sebenarnya yang merindui alunan lagu nasyid.

“Ditambah pula dengan kerjasama lama dan baharu menjadikan ia sesuatu yang menarik untuk diperdengarkan kepada peminat ketika ini.

“Maka dari situ kami mula merancang membuat kerjasama sedemikian. Disebabkan lagu ini mahu dilancarkan pada Ramadan, jadi kami perlu mencari lagu yang paling sesuai,” katanya.

Menurut Hazamin, lagu Setanggi Syurga berbentuk munajat dan berkaitan dengan syurga.

KHAI Bahar
KHAI Bahar

“Memandangkan bercadang melancarkan kerjasama ini pada Ramadan, kami memilih lagu berbentuk munajat dan berkaitan dengan syurga ini.

“Kebetulan pula kami pernah melihat video Khai Bahar menyanyikan lagu ini dalam persembahan,” katanya.

Selain Hazamin, Inteam turut dianggotai Mohd Syahril Abd Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.

Mengenai pemilihan Khai, Hazamin berkata, penyanyi lagu Hati Nyawa itu mempunyai karakter suara unik selain imej positif.

“Kami melihat Khai kerana dia penyanyi yang berperwatakan sangat baik dan berimej positif. Tambahan pula dia banyak menyanyikan lagu ketuhanan.

“Pada masa sama, Khai memang meminati lagu Inteam dan pernah membawa lagu kami dalam persembahannya. Pendek kata, Khai sudah faham dan tahu mengenai lagu Inteam,” katanya.

Berbeza daripada lagu asal, Setanggi Syurga 2020 menampilkan susunan muzik dan cara nyanyian yang lebih matang.

“Lagu Setanggi Syurga 2020 ini menampilkan kelainan dari segi susunan muzik dan cara nyanyian juga.

“Muzik kali ini banyak menampilkan instrumen ‘live’ dan lebih bersifat akustik berbanding yang terdahulu. Susunan muzik dan cara nyanyian juga lebih ‘catchy’ dan matang.

“Insya-Allah, kami yakin lagu ini akan pergi jauh dan mendapat tempat dalam kalangan peminat Inteam serta Khai selain penggemar industri muzik tanah air keseluruhannya.

“Ini kerana lagu ini ada kekuatan tersendiri, ciptaan gandingan mantap komposer, Isman Hijjaz dan penulis lirik, Ito Lara yang pernah menghasilkan banyak lagu nasyid popular hujung 1990-an dan awal 2000-an,” katanya.

Pada masa sama, Hazamin berkongsi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sekarang tidak menghalang mereka untuk terus mempromosikan lagu itu.

“Insya-Allah, kami akan menggunakan segala ruang di media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

“Kami juga akan mengadakan sesi siaran langsung di Instagram sempena pelancaran lagu di media sosial untuk merancakkan lagi promosi lagu ini.

“Selain itu, kami juga mungkin akan merakam video nyanyian lagu ini dalam versi PKP yang akan dirakam di rumah masing-masing,” katanya.