ISTERI kepada penyanyi Hazama yang juga pemuzik, Genervie Kam mengaku dia masih berusaha untuk berpuasa penuh seperti yang dituntut dalam Islam.

Genervie, yang memeluk Islam pada pertengahan 2016, berkata walaupun mempunyai masalah gastrik yang serius, dia tetap mencuba untuk berpuasa seperti orang lain.

“Secara jujurnya, bukan mudah juga untuk saya berpuasa kerana masih lagi baru mendalami Islam, tetapi saya nekad mencuba.

“Ia berikutan, saya sebenarnya tidak pernah puasa sebelum peluk Islam. Kalau ada pun, cara puasa itu tak sama dengan ajaran Islam.

“Apapun, yang pasti saya juga mempunyai masalah gastrik serius. Saya cuba puasa, tapi gagal. Namun saya tak putus asa untuk terus cuba kerana Allah tahu niat saya,” katanya.

Menurutnya, dia yakin dapat melakukannya (berpuasa) tetapi harus bergantung kepada tahap kesihatan dirinya.

“Ada juga harinya yang saya berjaya puasa penuh. Namun, selalunya saya hanya berjaya tahan puasa sehingga jam 4 petang.

“Sebelum ini pun, saya ada masalah kekurangan air dalam badan. Ia memang bahaya untuk kesihatan. Apapun saya tetap cuba mengikut kemampuan diri.

“Hazama pun banyak bagi semangat. Dia dan keluarganya sama-sama menggalakkan saya puasa dan tak pernah nak mengutuk saya,” katanya.

Bagi mengisi masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),

Genervie yang berkahwin dengan Hazama pada Januari 2018, kini mengusahakan jualan asam laksa secara dalam talian (online).

“Sekarang pun saya tak dapat aktif dalam seni, jadi ada baiknya isi masa dengan buat asam laksa. Tak sangka pula ramai yang berminat dan buat tempahan.

“Pada saya ia bagus daripada duduk diam saja. Tak terasa masa berlalu begitu cepat dan proses puasa lagi senang.

“Abang ipar yang akan hantar pesanan pelanggan. Saya sebenarnya nak bantu abang ipar kerana dia kerja hotel dan gajinya dipotong separuh,” katanya.

Genervie berkata, keuntungan yang diperolehi abang iparnya agak berpatutan dan boleh menampung perbelanjaan keluarga.

“Rasa gembira dapat bantu keluarga suami. Apatah lagi, Hazama pula sokong dengan berikan modal untuk beli barang-barang.

“Dia (Hazama) memang tak pandai masak tapi dia selalu rajin bantu saya kemas dapur dan cuci pinggan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan