UNTUK seseorang artis veteran terus kekal berada dalam industri hiburan arus perdana bukanlah satu tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila industri seni tanah air dipenuhi dengan pesaing daripada pelbagai generasi.

Bagi penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, menempa nama dan mengukuhkan tapaknya dalam industri muzik juga bergantung kepada pelbagai strategi dan formula.

Salah satu strategi yang kerap membuahkan hasil adalah kerjasama dengan penyanyi generasi baharu dan menyinar dalam sesuatu era.

Terbaharu, dia bekerjasama dengan komposer yang juga penyanyi rap, Luca Sickta dan Kmy Kmo menerusi lagu berjudul Neraca.

Jamal ketika ditemui berkata, dia tidak menolak bahawa ini adalah formula yang harus digunakannya.

“Untuk artis veteran seperti saya berada dalam arus perdana hari ini, ini adalah formula yang saya harus gunakan iaitu kerjasama dengan anak-anak muda.

“Secara tak langsung, itu boleh meletakkan saya sebaris dengan mereka yang masih aktif di dalam industri muzik,” katanya.

Berkongsi mengenai karya terbaharu ini, Jamal tidak menafikan bahawa Neraca berjaya membuka matanya untuk melihat aspek duniawi dari perspektif berbeza.

“Ia adalah karya yang begitu mendalam. Lagunya santai, tapi mesej yang disampaikan kalau kita hayati dan amati, sangat menyentuh jiwa.

“Dari sudut pandang saya, ia menyentuh mengenai rutin harian kita yang kalau tidak dikawal dengan baik, mampu membuatkan kita leka,” katanya.

Menurutnya, secara tak langsung, Neraca umpama menjadi medium untuk menyampaikan pengajaran buat pendengar.

“Sedikit sebanyak, dalam kejahilan saya, dapat juga saya mengingatkan orang lain melalui lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai krisis pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada industri seni tanah air, Jamal mengajak penggiat seni supaya sentiasa beringat ketika senang dan simpan bekalan sekiranya berlaku kesusahan.

“Alhamdulillah, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya masih lagi dapat bertahan dengan sedikit simpanan yang ada. Memang dari dulu lagi, kalau ada duit lebih, saya akan laburkan dalam saham dan sebagainya.

“Jadi, pulangannya dapatlah saya gunakan ketika kecemasan. Bukan saja saham, tapi ada beberapa pelaburan lain yang saya lakukan,” kataya.

Katanya, menjadi anak seni bukanlah untuk mengejar harta dan kemewahan semata-mata, tetapi lebih kepada mencari rezeki dengan ikhlas.

“Buat semua benda betul-betul. Seniman tak hanya sekadar mengejar duit atau populariti saja. Bila kita lakukan perkara yang betul, rezeki dan populariti itu akan datang sendiri,” katanya yang turut mengusahakan ternakan ikan kelisa di Ipoh, Perak yang juga menjadi sumber mata pencariannya.