PELAKON Fizo Omar menjelaskan bahawa apa yang diperjuangkan olehnya dan beberapa rakan artis bagi mendapatkan bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukanlah untuk diri mereka sendiri tetapi untuk pekerja-pekerja seni yang hilang mata pencarian.

Fizo juga memohon masyarakat supaya tidak memandang ‘gelaran’ pekerja seni itu, hanya kepada mereka yang punya pendapatan dan berkemampuan, sebaliknya lihat juga kelompok pekerja di belakang tabir dan sebagainya.

“Saya harap, masyarakat faham apa yang rakan-rakan saya maksudkan dan cuba perjuangkan.

“Pekerja seni termasuklah mereka yang bekerja di belakang tabir, yang mana pendapatan mereka bergantung kepada penggambaran atau sesuatu acara sahaja.

“Selain itu, ramai juga artis-artis veteran yang tak ada pendapatan dan inilah masanya untuk kita bersuara dan membantu mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, dia bukan sengaja ingin masuk campur dalam urusan membabitkan rakan artisnya yang dikecam masyarakat, tetapi turut terkesan kerana mereka bersahabat.

“Siapa yang tak terkesan sekiranya rakan-rakan kita dikecam sedangkan, kenyataan mereka diputarbelit oleh pihak tertentu sehingga membawa maksud berbeza.

“Ini jugalah yang membuatkan saya khuatir untuk keluarkan sebarang kenyataan kerana akan ada pihak yang memutarbelit kenyataan terutamanya blog-blog yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Baru-baru ini, heboh apabila beberapa artis tanah air antaranya, Black, Achey, Tomok dan Shuib dikecam hebat oleh warganet, yang rata-rata menganggap mereka mahukan sumbangan khas untuk golongan artis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan