PELAKON Fizo Omar tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang menuduh dirinya meminta bantuan daripada pihak kerajaan.

Fizo berkata, tuduhan yang dilemparkan itu adalah satu fitnah besar hingga mencemarkan nama baik dirinya dan keluarga.

“Ingin saya tegaskan saya tidak pernah meminta bantuan daripada kerajaan atau mana-mana pihak seperti yang didakwa di media sosial.

“Itu adalah satu fitnah besar terhadap diri saya. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika perkara ini berlarutan termasuklah komen kata-kata kesat di media sosial yang boleh menjatuhkan maruah atau mencemarkan nama baik saya dan keluarga,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Kekecohan ini mula tercetus ketika Fizo meninggalkan komen pada video pelakon sensasi Zarina Anjoulie hingga mengundang kecaman.

Berang dengan komen itu, Zarina memuat naik satu rakaman video yang ditujukan kepada Fizo.

Perkongsian Zarina mendapat sokongan daripada pengikutnya hingga menegur semula Fizo.

Menurut Fizo, dia ingin tegaskan apa yang berlaku membabitkan dirinya hanyalah salah faham dan berharap mana-mana pihak yang mencaci dirinya agar menarik semula tuduhan tidak berasas itu.

“Saya yakin apa yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan salah faham dan sebab itulah memberi kesan kepada saya dan keluarga hingga menerima komen negatif, cacian, makian dan hinaan.

“Saya maafkan anda semua dan berharap siapa yang terbabit sila tarik semula tuduhan sebelum saya mengambil tindakan sewajarnya kepada semua.

“Berkaitan hal ini saya sendiri bercakap dengan selebriti yang terbabit. Sebenarnya hasrat mereka adalah meminta pertimbangan daripada pihak kerajaan untuk memberikan bantuan kewangan kepada penggiat industri seni.

“Maksud mereka adalah memberi fokus kepada kru di belakang tabir dan juga artis-artis veteran terutama yang uzur dan tiada punca pendapatan. Itu maksud mereka.

“Tapi ada pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan dan menyalah erti hasrat mereka, malah difitnah secara berleluasa di media sosial,” katanya.