“INI satu-satunya lagu yang saya hasilkan lirik sambil menangis,” kata pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya berkenaan lagu baharu berjudul Basyirah dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Fedtri berkata, dia juga terpaksa mengubah lirik lagu itu beberapa kali memandangkan ia adalah karya dedikasi yang istimewa.

“Ia asalnya sebuah lagu cinta tapi, apabila komposer iaitu Hafiz Hamidun menghantar melodinya, saya dah dapat rasa syahdu dan sedih dalam jiwa lagu itu.

“Apatah lagi, kini kita semua dalam negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19. Saya akhirnya menukar beberapa kali lirik ini daripada kisah cinta kepada isu yang berlaku di seluruh dunia.

“Jadi, saya terbayang perjuangan semua orang terutama petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menggadaikan nyawa,” katanya.

Menurut Fedtri, Siti pula mahukan satu karya lagu yang kuat mesejnya dan pada masa sama kena puitis, jadi dia membayangkan khabar gembira untuk semua orang.

“Kita semua pada ketika ini sangat mengharapkan khabar gembira semoga wabak Covid-19 cepat berlalu dan kembali hidup seperti biasa.

“Justeru, saya cari perkataan ‘khabar gembira’ dalam bahasa Arab untuk sesuaikan dengan ‘mood’ Ramadan dan dipertemukan dengan perkataan ‘basyirah’,” katanya.

Menurut Fedtri, lagu itu juga bertujuan menghargai petugas barisan hadapan (frontliners) dan unsur metafora serta puisi diguna pakai supaya bersesuaian dengan Ramadan yang mana mungkin mereka akan berhadapan kesukaran, tetapi InshaaAllah akan berjaya.

Kata Fedtri lagi, lagu Basyirah bermelodikan Timur Tengah itu adalah kolaborasi kali keempatnya bersama Siti.

“Proses rakaman sudah siap sepenuhnya dan difahamkan lagu ini akan dilancarkan pada 5 Mei nanti.

“Bagaimanapun jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berterusan, saya serahkan kepada kebijaksanaan Siti Nurhaliza Production (SNP) untuk menguruskannya,” katanya.

Sementara itu, Fedtri juga muncul sebagai hos program popular, Jejak Rasul Ulul Azmi yang bersiaran di TV3 setiap Jumaat hingga Ahad, mulai hari ini, jam 6.30 petang.

“Tahun lalu, tontonan program Jejak Rasul Ulul Azmi berjaya mencecah 1 juta penonton. Harapnya kali ini pasti lebih tinggi dengan adanya PKP.

“Untuk kali ini kami tonjolkan pula kisah Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim. Konsepnya ala travelog supaya lebih santai.

“Selain itu, turut dimasukkan juga elemen animasi, videografi dan unsur dramatik dalam program ini untuk tarikan penonton kanak-kanak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan