PERSATUAN Sutradara Malaysia (FDAM) menarik nafas lega dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) RM250 billion yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat termasuk penggiat seni tanah air.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London bagaimanapun meluahkan kebimbangan sekiranya pakej ransangan itu kurang memberi impak kepada golongan penggiat filem dan kreatif negara.

“Negara kita melakar sejarah buat kali pertama apabila Perdana Menteri mengumumkan pakej ransangan ekonomi yang tinggi dan menjangkaui tekaan keseluruhan masyarakat dan rakyat keseluruhannya. Pakej prihatin rakyat ini disambut baik oleh rata-rata rakyat Malaysia di dalam keadaan menghadapi wabak Covid-19.

“Bagi pihak FDAM sudah tentulah kami turut menarik nafas lega, namun masih terasa sedikit bimbangan jika ransangan ini kurang memberi impak kepada golongan penggiat filem dan kreatif negara.

“Kami amat menaruh kepercayaan tinggi terhadap kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berperanan merealisasikan keputusan dan pengumuman oleh Perdana Mneteri berkaitan pakej ransangan ekonomi ini,” katanya.

Menurut Ahmad, pakej RM250 bilion itu bakal memberi peluang kepada ahli FDAM untuk memohon dana perniagaan yang ditawarkan bagi meringangan beban rakyat selain pelbagai inisiatif bantuan lain.

“Pihak FDAM berharap semua ahli bersyukur dan bersama membantu pihak kerajaan dengan menyahut seruan dan usaha ketika kita di dalam kesusahan melawan serangan wabak Covid-19 dan kelembapan ekonomi negara.

“FDAM juga mengharapkam setiap golongan seni termasuk pekerja, penulis skrip, pelakon dan pengarah filem serta konten kreatif yang sentiasa berjasa kepada rakyat Malaysia dengan hasil kerja seni agar dipandang tinggi dan tidak tercicir dalam setiap agihan pakej ransangan ekonomi ini,”katanya.