PERSATUAN Sutradara Malaysia (FDAM) akan memboikot penerbit yang berhasrat untuk meneruskan penggambaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas akan diambil kepada syarikat produksi yang degil dan ingkar arahan PKP.

“FDAM akan mengarahkan seluruh ahli FDAM tidak terbabit dalam mana-mana penggambaran semasa PKP, kecuali kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa.

“Pihak FDAM tidak akan meluluskan sokongan ke atas sijil perakuan penggambaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Nama pengarah (ahli FDAM) yang ingkar akan disenarai hitam,” katanya.

Menurut Mat London, pihaknya amat terkesan apabila terdapat beberapa individu dan syarikat produksi yang mempunyai niat untuk memulakan penggambaran drama dan filem.

“FDAM memahami setiap rasa kesusahan dan keperitan yang dialami krew, pelakon, penulis skrip, pengarah dan penerbit. Ia memberi kita petanda bahawa industri filem dan televisyen akan menerima impak besar. Banyak kerja dan usaha pembaikan serta pembangunan semula perlu dilakukan nanti.

“FDAM terkesan dan ingin menyatakan pendapat mengenai kenyataan daripada beberapa individu dan syarikat yang masih ingin meneruskan penggambaran.

“Secara logik, mana mungkin pengawasan secara total dapat dijalankan dan jaminan 100% tidak akan mendapat jangkitan dari wabak berbahaya ini kerana kerja penggambaran membabitkan berkumpulan dan masa yang panjang.

“Apakah salahnya untuk hanya kali ini seumur hidup kita semua mematuhi apa yang disarankan dan diarahkan kerajaan berkenaan langkah dan kategori industri yang dibenarkan beroperasi. Keyakinan tinggi perlu ada dalak kerjasama utuh bersama pihak kerajaan.

“Tunjukkan rasa sayang dan kebertanggungjawaban kita kepada keluarga dan kesihatan kita bersama di saat genting ini. Kenapa perkara ini diambil ringan?” katanya.

Mat London melalui FDAM turut berterima kasih kepada beberapa pihak yang menangguhkan semua tayangan filem di pawagam demi menjaga serta memerangi wabak ini.

“Bekorbanlah sekarang demi masa depan bersama. Marilah kita berdoa bersama-sama dan berusaha, Insha-Allah kejayaan bakal kita kecapi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan