SELEPAS 31 hari berjauhan dari keluarga kerana menjalani kuarantin sendiri, penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob kini kembali ke pangkuan keluarganya.

Fazley berkata dalam tempoh 31 hari itu, beliau menjalani kuarantin di Singapura selama 14 hari dan selebihnya di Kuala Lumpur selepas pulang dari negara jiran berkenaan di atas tuntutan kerja.

“Ia adalah satu tempoh yang panjang buat saya, namun ia perlu dilakukan kerana tidak mahu merisikokan keluarga. Jadi, saya ambil keputusan untuk menjalankan kuarantin sendiri semasa di Singapura dan selepas pulang ke tanah air.

“Sepanjang tempoh itu, saya sangat fikirkan keadaan keluarga terutama anak-anak yang sangat rapat dengan saya. Rasa lega bila dapat kembali dan berada bersama mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Fazley juga berkongsi mengenai pengalamannya memandu kereta sewa dari Tuas, Singapura menuju ke Kuala Lumpur.

“Saya terpaksa menyewa kereta dari Tuas memandangkan tiga kali penerbangan pulang saya ke Malaysia, ditunda. Tiket bas juga semuanya habis.

“Sepanjang perjalanan, saya dapat lihat kelainan apabila lebuh raya kosong tanpa kenderaan dan semua kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup untuk kenderaan.

“Sebelum ini, kita hanya lihat situasi sebegini di dalam filem. Tapi, sekarang saya dapat lihat dengan mata sendiri. Bila dah masuk ke Kuala Lumpur, ada beberapa sekatan jalan raya yang saya tempuh dan perlu jelaskan semuanya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Fazley berada di Singapura sebelum ini bagi menghabiskan rakaman program Cake Champion musim kedua dan bertindak sebagai ketua juri.

Sejak itu, dia mengambil pendekatan menjalani kuarantin diri di Singapura terlebih dahulu sebelum pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19