“TAK sangka adik yang ke-11 dan anak dalam kandungan ini bakal berkongsi tahun lahir yang sama,” kata penyanyi Fara Hezel yang berkongsi kini hamil tiga bulan.

Fara yang juga kakak kepada penyanyi Aiman Tino berkata, dia teruja dengan kehamilan cahaya mata pertama itu dan dijangka bersalin pada November depan.

“Mak yang hamil dulu, kemudian saya pula disahkan mengandung. Memang terkejut apabila rezeki untuk timang cahaya mata secepat ini.

“Paling tak sabar apabila anak saya nanti sebaya dengan adik yang ke-11. Susah nak gambarkan perasaan itu.

“Alhamdulillah kandungan baik-baik saja, cuma alahan dialami agak teruk. Dari awal kehamilan sampai sekarang saya selalu muntah-muntah dan pening,” katanya.

Fara yang menetap di Terengganu mengikut suami, berkata dia terkilan apabila tidak berkesempatan untuk melihat adik dan keadaan ibunya.

“Saya sedih apabila tidak dapat bersama mak di hospital dan jumpa adik baru.

“Saya sekarang menetap di Terengganu di rumah mentua, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi memang tak boleh balik Kuala Lumpur lagi.

“Tapi saya selalu menghubungi mak dan bertanyakan keadaannya kerana dia melalui situasi sukar sewaktu proses kelahiran baru-baru ini. Apapun, saya gembira semuanya selamat dan baik-baik saja,” katanya.

Khamis lalu, ibu Fara iaitu Hazelina Mat Jali, 43, selamat melahirkan anak ke-11 di Hospital Selayang, Selangor.

Fara berkahwin dengan ahli perniagaan dari Terengganu dikenali Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin pada 20 Disember lalu.

Berita berkaitan

• ‘Syoknya dapat adik baru’ – Aiman Tino

• Aiman Tino dapat adik lagi