PENGACARA popular Fara Fauzana mencabar dirinya dengan melakukan eksperimen memakai pakaian berlapis seumpama peralatan perlindungan diri (PPE) dan dikongsi di Instagram TV (iGTV), semalam.

Dalam video berdurasi lima minit dan 46 saat itu, Fara memakai beberapa lapis pakaian, penutup hidung dan mulut serta pelindung mata dan penampilannya lengkap seperti memakai PPE yang betul.

Menetapkan masa selama tiga jam untuk cabaran itu, namun Fara hanya mampu bertahan selama satu jam dan 30 minit saja dan diakui sangat kurang selesa.

Fara ketika dihubungi berkata, dia melakukan eksperimen itu sekadar suka-suka untuk diri sendiri berikutan selalu melihat foto petugas kesihatan yang memakai PPE dimuat naik di media sosial dan juga paparan di akhbar.

“Saya selalu melihat foto mereka (petugas kesihatan) memakai PPE itu sepanjang bertugas dan ada yang lebih tiga jam menyarungnya di badan. Apatah lagi, sebelum merakamkan video itu saya ada menghubungi beberapa rakan yang bertugas di barisan hadapan sebagai doktor untuk mendapatkan maklumat lebih tepat.

“Memang memakai PPE itu memerlukan mereka komited untuk bertugas. Kena tahan tak boleh makan, tak boleh minum dan paling mencabar kalau nak ke tandas,” katanya.

Menurut Fara, PPE itu juga tidak boleh dibuka ikut suka dan dipakai secara berulang. Apa yang pasti, ia sangat memerlukan ketahanan mental yang kuat.

“Pada minggu lalu juga, saya ada menyertai satu badan bukan kerajaaan (NGO) ke hospital di ibu kota dan berkesempatan berjumpa petugas kesihatan yang siap berpakaian PPE baru balik dari membuat pemeriksaan saringan di kawasan positif Covid-19.

“Saya kagum melihat kesungguhan mereka yang memakai PPE itu dalam tempoh agak lama sepanjang waktu bekerja demi membantu untuk menyelamatkan nyawa walaupun mereka juga terdedah jangkitan Covid-19,” katanya.

Menurut Fara, terlalu besar pengorbanan yang dibuat petugas kesihatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita sebagai rakyat negara ini tolonglah bantu mereka dengan terus duduk di rumah.

“Hanya dengan duduk di rumah dan mengikut semua saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentunya dapat membantu hasrat kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

“Ini pandemik yang berbahaya hingga saya pun sebenarnya takut nak keluar rumah kerana sekarang ada pesakit yang dikesan tidak mempunyai simptom mereka dijangkiti Covid-19,” katanya.

Menurut Fara, dia sedih kerana melihat masih ramai lagi orang yang degil dan tetap keluar rumah kerana berasa terkurung, bosan serta ingin bersiar-siar.

Menerusi perkongsian video itu, hingga kini sudah ditonton lebih 124,000 kali dan mencatat sekitar 500 komen daripada warganet yang mengikuti Fara di Instagram.

Rata-rata komen diterima pula kagum dengan tindakan Fara melakukan eksperimen itu dalam usaha menjentik kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya jangan ingkar arahan kerajaan dan duduk di rumah dalam tempoh sekarang untuk keselamatan.


View this post on Instagram

A post shared by FARA FAUZANA (@therealfafau) on

  • Lagi berita berkaitan Covid-19