PENERBIT Fadzil Teh dan pelakon, Rita Rudaini mempelawa artis kelahiran Perlis untuk sama-sama membantu keluarga susah dan yang terjejas di sekitar negeri itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Fadzil yang juga penerbit Zeel Production berkata, inisiatif yang turut dijayakan bersama rakan mereka di sana iaitu Cikgu Halmy sudah membantu hampir 50 keluarga memerlukan.

“Alhamdulillah, usaha kecil kami ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang benar-benar susah dan memerlukan. Kita tahu ramai antara mereka pekerjaan dan pendapatan terjejas teruk. Jadi, apabila mereka mula minta bantuan, bagi saya tidak salah nak bantu.

“Fokus kami bukan saja golongan asnaf tapi juga ibu tunggal dan keluarga yang mempunyai anak ramai. Terima kasih Cikgu Halmy dan rakan di sana yang membantu dan memudahkan lagi proses penyerahan bantuan,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Rita berharap orang ramai tidak memberi tanggapan negatif atas apa yang dibuat.

“Kami bukan nak menunjuk-nunjuk, tapi nak memberi kesedaran kepada semua bahawa masih ramai golongan yang memerlukan. Bayangkan kalau PKP ini tak dilaksanakan, mungkin kita masih terlepas pandang mereka. Lagipun, lebih ramai yang memberi sumbangan, lagi bagus. Sekurang-kurangnya, lebih banyak keluarga yang dibantu. Harapnya dengan sumbangan yang ada dapat membantu mereka bertahan,” katanya.

Dalam masa sama, Fadzil dan Rita berharap, semua penggiat seni membabitkan kru dan pelakon bersabar dan patuh dengan arahan dikeluarkan kerajaan.

Mereka jua mencadangkan kerajaan untuk mengeluarkan satu pendekatan terbaik supaya pihak produksi dapat meneruskan kerja mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan