TERKESAN dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19, penyanyi Ezad Lazim, 40, mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku dan makanan segera dalam paket selepas aktiviti nyanyian dan perniagaan diusahakan sebelum ini tergendala.

Ezad berkata, dia tidak boleh duduk diam mengenang nasib sahaja dan perlu memikirkan cara mencari pendapatan.

 “Ini antara perniagaan yang sesuai diusahakan dalam tempoh pelaksanna PKP sehingga 28 April ini,” katanya.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim berkata, perancangan awalnya bagi menambah pendapatan serta perancangan karier terpaksa ditangguhkan seketika buat masa ini.

“Perancangan untuk perasmian dewan perkahwinan kendalian saya dan isteri terpaksa ditangguhkan. Begitu juga sambungan Siri Jelajah Exists Reunion seluruh Malaysia dan di Istana Budaya juga terpaksa ditangguhkan. Nasib sama juga dihadapi Konsert Nusa Fest yang mengabungkan tiga negara yang turut ditangguhkan.

“Baru-baru ini pula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan minta elakkan sebarang perhimpunan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun selepas PKP berakhir dan ia menambah panik kepada kami,” katanya.

Dalam masa sama, Ezad meminta semua golongan penggiat seni agar akur dengan ujian ini.

“Kita juga kena reda dengan ketentuan-Nya. Yang penting selagi ada daya dan usaha, jangan berhenti berdoa dan jangan putus asa,” katanya.