PASANGAN duet popular, Ernie Zakri dan Syamel dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Serantau Muslim mengajak masyarakat untuk menyumbang bagi membantu golongan memerlukan dan barisan hadapan.

Kutipan yang dilancarkan sejak semalam itu dibuat menerusi laman web BeriSedekah.com yang bakal disalurkan terus kepada golongan sasaran program itu.

“Gerakan dan idea ini datang daripada Syamel. Saya bersetuju sebab tahu ini perkara yang kami boleh buat dengan mengajak khalayak dan peminat untuk membantu.

“Pemilihan NGO ini pula sebab mereka sudah berdaftar dan boleh dipercayai selain aktif menjalankan aktiviti kebajikan sebegini. Mereka ada pasukan yang akan menyediakan barang atau apa saja keperluan bagi keluarga memerlukan dan barisan hadapan. Mereka selalu bekerjasama dengan Datuk Prof  Dr Muhaya Mohamad dan rakan selebriti lain. Sebab itu kami nak buat perkara ini,” katanya kepada Harian Metro.

Bersempena dengan program amal yang dijalankan, Ernie dan Syamel akan muncul pada sesi siaran langsung An Hour With Bang Mel & Kak Ninie x Serantau Muslim di Instagram, jam 9.30 malam Jumaat ini.

“Program IG ‘live’ ini diadakan khas untuk lebih mendekati khalayak. Tapi, kutipan derma sudah boleh dibuat sejak semalam. Sewaktu IG ‘live’ itu nanti, kami akan mengemaskini berapa kutipan yang sudah diperoleh. Malah, pada sesi ini juga kami turut menyanyi, bermain permainan dan berborak dengan peminat khas untuk kutipan derma ini,” katanya.

Sementara itu, Syamel berkata, program itu diharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Negara dan dunia hari ini sedang berhadapan dengan situasi yang tidak pernah kita lalui sepanjang hidup kita. Walau macam mana pun, kita rasa susah dan tertekan. Bayangkan mereka yang terpaksa tinggalkan keluarga, meletakkan nyawa dengan risiko sebab nak lindungi kita.

“Bayangkan bahu yang memikul. Jadi, disebabkan itu saya dan Ernie nak buat sesuatu yang boleh bantu mereka. Kami ajak peminat untuk bantu dan turut serta,” katanya.