SERING dipandang sinis hanya kerana dia anak kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K.

Walaupun ada ketika perkara itu membuatkan Asyraf Khalid terasa hati, tapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dalam membina empayar sendiri.

“Hati siapa yang tak terguris kalau sering dipandang sinis orang luar serta pemerhati dunia perniagaan. Kadang-kadang berasa seperti ‘loser’ kerana mereka fikir saya kecapi semua ini dengan cara mudah selain tanggapan klise.

“Jujur, saya tak boleh menafikan rasa bengang, jelak dan amarah itu pernah bersarang sampai naik geram. Biasalah yang orang nampak hanya keindahan, di sebalik semua itu tiada siapa yang tahu. Cuma, tidak adil jika mereka terus berandaian begitu. Tapi, kalau terus larut dengan rasa negatif itu pun saya tak akan ke mana. Saya lawan segala rasa,” katanya.

Selain cemerlang dalam mengukuhkan jenama jamu isterinya, Tya Ariffin iaitu Mutyara Beauty, Asyraf yang juga anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah ‘mastermind’ perniagaan jenama Kilafit diusahakan Kilafairy serta Jiwaku Kids menampilkan anak sulungnya, Arif Jiwa.

Bersempena menyambut ulang tahun kedua jenama itu hari ini, Asyraf terpanggil berkongsi perjalanannya membina empayar perniagaan sendiri.

PASUKAN yang sentiasa membantu.
PASUKAN yang sentiasa membantu.

“Saya bertatih sendiri dari bawah. Ikutkan sejak usia tujuh tahun saya sudah jual pen di sekolah dan pelbagai lagi lubuk perniagaan yang dicuba. Saya mula serius mahu bergelar ahli perniagaan sejak usia 22 tahun hingga sekarang.

“Saya dan pasukan bekerja keras untuk menakluki apa yang diraih ketika ini. Isteri saya juga antara insan penting yang berada dalam pasukan kerja itu. Saya sedar, dalam dunia perniagaan ini bukan semua yang kita buat beroleh kejayaan. Ada juga perniagaan yang saya buat berakhir begitu saja. Namun itu bukan penamat segala-galanya,” katanya.

Menurut Asyraf, dia banyak melihat contoh dan idola yang berasal dari kampung namun beroleh kejayaan membanggakan.

“Saya tengok kejayaan sebegini menjadi inspirasi dan penyuntik semangat. Sebagai contoh ada rakan niaga saya yang buat jualan tahun lalu mencecah lebih daripada RM20 juta. Tahun ini pula dalam masa tiga tahun dia sudah buat keuntungan lebih RM15 juta.

“Kejayaannya sebab dia jujur dan itu buat saya cemburu dan bengang. Namun dalam konteks yang positif. Dia bermula dengan tidak ada apa-apa namun boleh berjaya. Lalu kenapa saya tak boleh berjaya macam itu dan jadi seperti mereka?” katanya.

Selepas berkahwin dengan Tya, pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa.