Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Ebby Yus yang mengalami kebocoran buah pinggang tahap tiga sejak dua tahun lalu memaklumkan seronok melakukan kerja-kerja amal membantu golongan yang memerlukan.

Ebby, 56, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia menganggap kerja-kerja amal ini menjadi penawar bagi penyakit yang dihidapinya.

“Sebenarnya inilah kekuatan atau ubat daripada kesakitan kita. Apabila kita menginfaq, kita keluarkan tenaga kita dan bantu orang lain.

“Saya rasa itu adalah ubat paling mujarab untuk kesakitan kita iaitu dengan membantu orang walaupun kita dalam keadaan kurang sihat,” katanya kepada Harian Metro.

Ebby yang ditemui pada program Raga Keperluan Dapur Seniman Yadululya anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) hari ini berkata, dia masih dalam rawatan dan keadaan kesihatannya lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya sudah mula bekerja semula. Syukur, tenaga saya sudah kuat. Atas doa adik-beradik, kawan-kawan dan peminat serta izin Allah, saya beransur okay dan boleh bekerja.

“Saya masih berlakon, cuma lebih banyak dalam studio. Tawaran berlakon tetap ada tapi dengan pandemik Covid-19 kena berhati-hati juga.

“Saya juga masih bergelar penyampai stesen radio Negeri FM, Negeri Sembilan secara kontrak. Dah masuk tahun kedua saya bersama mereka. Saya bertugas setiap Khamis hingga Sabtu,” katanya.

Bercerita mengenai program Raga Keperluan Dapur Seniman Yadululya, Ebby berkata, dia turut menyumbang barangan keperluan dapur kepada rakan-rakan penggiat seni yang terkesan dengan pandemik Covid-19. “Saya sebenarnya sudah bersama Pondok Motivasi Hamlatul Qur’an kendalian Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin sejak tujuh tahun lalu.

“Sebagai duta, tahfiz ini banyak terbabit dengan program keagamaan. Dari situ terhasil program amal ini yang sekarang dijenamakan sebagai Yadululya

“Kebetulan Ustaz Asyraf dapat lesen beras dan keluarkan beras jenama Ashraffi. Sebahagian hasil jualan beras ini disalurkan untuk program infaq ini,” katanya yang gembira dapat membantu mereka yang memerlukan.