PENGARAH drama Nur, Shahrulezad Mohameddin meluahkan rasa syukur apabila drama itu menjadi sohor kini atau trending di platform penstriman atas talian, Netflix dan berada dalam kumpulan 10 teratas di Malaysia.

Shahrulezad dihubungi berkata, dia juga terharu kerana walaupun drama itu sudah dua tahun ditayangkan, ia masih lagi diterima dengan baik oleh penonton.

“Alhamdulillah, saya sendiri pun tak sangka yang Nur sekali lagi akan mendapat sambutan walaupun selepas dua tahun ditayangkan. Malah, sudah berkali-kali diulang tayang.

“Bukan sahaja di Netflix, saya juga berterima kasih kepada TV3 kerana menayangkan semula drama ini di slot Samarinda yang selalunya, mengetengahkan karya-karya baru,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, penerimaan itu mungkin bersesuaian dengan pelbagai isu semasa yang melanda negara ketika ini.

“Kalau kita lihat, isu semasa yang menjadi bualan masyarakat baru-baru ini adalah berkaitan pendakwah yang menggunakan agama dan bertikam lidah untuk mendapatkan perhatian.

“Sedikit sebanyak, mungkin apa yang diketengahkan dalam jalan cerita Nur, dapat dikaitkan oleh penonton. Secara tidak langsung, ia menjadi malar hijau dan terus diterima,” katanya.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana dapat berdakwah menerusi karya drama itu.

“Masyarakat sering melihat apa sahaja yang berkaitan dengan dunia hiburan itu sebagai sesuatu yang lagha atau sia-sia. Namun, sebenarnya kita juga dapat menggunakan platform hiburan seperti drama untuk berdakwah dan menyampaikan mesej positif.

“Kasih sayang Allah itu tidak bersempadan. Dia sayang setiap hamba-Nya, tidak kiralah sama ada kita seorang agamawan atau ‘orang-orang lorong’. Siapa pun kita, rasa kasih dan sayang kepada Allah tetap boleh dizahirkan,” katanya.

Dalam pada menghayati drama itu sama ada di TV atau Netflix, Shahrulezad juga mengingatkan penonton supaya tidak mengabaikan bulan Ramadan.

“Ada yang memberi komen kepada saya, bahawa mereka lebih rasakan ‘mood’ Ramadan itu bila menonton drama ini. Terima kasih saya ucapkan, tetapi sebenarnya timbul juga rasa kurang selesa bila menerima komen sebegitu kerana Ramadan adalah bulan untuk kita beribadat.

“Jadi, kepada penonton dan peminat drama Nur, diingatkan dalam pada anda menonton drama, jangan lupa untuk beribadat sebanyak mungkin dalam bulan mulia ini,” katanya.