Kuala Lumpur: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar segera mempertimbangkan permohonan penggiat industri kreatif untuk membuat penggambaran di luar studio.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali Mat London berkata, MKN perlu menyatakan pendirian mereka terhadap draf prosedur operasi standard (SOP) penggambaran luar yang dihantar oleh FDAM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Kami sudah memenuhi permintaan MKN iaitu mengemukakan draf SOP. Finas pun dah hantar juga.  Kami bersedia mematuhi segala peraturan dalam SOP termasuk melaksanakan ujian calitan terhadap kru dan pelakon.  

“Tapi kenapa MKN masih tidak memberi kelonggaran?  Apa lagi yang MKN mahukan dari kami? Kami hanya mahu kepastian tapi sehingga kini kami masih tidak menerima sebarang jawapan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan FDAM.

Menurut Mat London, FDAM sedia berbincang dengan MKN bagi menjelaskan secara terperinci mengenai proses penggambaran yang dilaksanakan di negara ini.

“Kami bersedia dipanggil pada bila-bila masa. Ini hal survival anak seni. Kami tidak mampu lagi menunggu.  Selain FDAM, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) juga menyatakan pendirian yang sama.  

“Sebagai peneraju penggambaran di lokasi, kami selaku pengarah bertanggungjawab terhadap semua hal produksi.  Sampai bila kami harus menunggu? Sedangkan negara-negara jiran, Singapura, Indonesia dan Thailand pun sudah melonggarkan syarat penggambaran luar,” katanya.

Tambahnya, penggiat industri seakan-akan mempunyai stigma bahawa industri perfileman tidak pernah dianggap sebagai penyumbang kepada ekonomi negara kerana sering dipinggirkan.

“Sabah pun sudah membenarkan penggambaran luar.  Mesyuarat dalam dewan sudah  dibenarkan sampai 300 hingga 500 orang. Kami cuma 30 hingga 40 orang sahaja dan itupun dalam kawalan yang ketat, katanya.

Terdahulu, kerajaan memberi kebenaran terhad untuk aktiviti penggambaran dalam studio sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sedang berlangsung.

Syaratnya, SOP baru mesti dipatuhi tanpa kompromi oleh mana-mana syarikat produksi seperti memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) Khas sebelum melaksanakan aktiviti penggambaran, pemantauan berkala oleh Finas di lokasi penggambaran dan saringan ujian Covid-19 perlu ke atas semua tenaga produksi.