PENDAKWAH bebas, Ustaz Mohamad Anas Mohamad Naem menyeru masyarakat supaya tidak menunjuk-nunjuk dalam soal ibadah di laman sosial.

Mohamad Anas berkata, perbuatan itu dibimbangi jatuh riak biarpun dengan hanya menyatakan dalam bentuk status seperti #donetarawih, #donetajahud, #donetadarus dan banyak lagi.

“Dalam soal ini, berbalik pada niat. Nabi sebut, setiap perbuatan mula dengan niat. Jadi apa-apa perkara nak buat pun kena tengok niat.

Kalau setakat ‘done berbuka puasa’, ‘solat’ dan sebagainya, mungkin ada yang kata nak beritahu tentang kebaikan dan galakkan orang supaya buat perkara sama, di situ tak ada masalah.

“Tetapi, sebaiknya dan lebih baik adalah sembunyikan. Kalau setakat ‘done berbuka puasa’ adalah biasa. Kalau contoh ‘done tarawih’, ‘done qiamullail’, ‘done tahajud’, ‘done tadarus’, kalau boleh perkara sebegini, baginda Rasulullah SAW sebolehnya dibuat secara sembunyi.

“Maksydnya, tidak menzahirkan perbuatan ibadah kita. Sebab apa takut jatuh dalam riak. Yang mana riak adalah sebahagian syirik kecil. Tapi tak ramai tahu. Nabi ada cakap, aku takut satu hari akan jatuh ke atas umat ku satu benda syirik yang dipanggil syirik kecil. Riak adalah perbuatan bukan kerana Allah tapi mungkin kerana makhluk, manusia atau sesiapa. Jadi, sebaiknya elakkan,” katanya.

Mohamad Anas yang muncul pada program siaran langsung #dirumahjer di Instagram @myhmrap tengah hari tadi turut mengingatkan masyarakat supaya berpada-pada dalam memuat naik status berbentuk paparan makanan di laman sosial sepanjang Ramadan ini.

“Selagi mana perkongsian di media sosial tidak capai tahap sia-sia, okay. Sebagai contoh, mungkin ada sengaja masak tak jadi dan dimasukkan dalam kumpulan mesej hingga jadi bahan ketawa, jadi perkara yang menyebabkan satu benda sia-sia dan kita tahu ia sia-sia. Jadi, itu tidak sepatutnya.

“Tapi, kalau setakat mahu mengemaskini apa kita buat, tidak jadi masalah, tapi kena berpada-pada.

“Kita kena ingat, mungkin kita berkemampuan, tapi ada sahabat kita yang tak mampu, terliur nak makan macam kita makan, tapi dia tak dapat. Jadi perlu berpada-pada. Cuma, saya katakan, dibenarkan, harus dan tak ada masalah. Tapi berpada-pada,” katanya.