PELAKON dan pengacara Diana Amir menerusi projek Ramadan Rescue With Diana kini dalam misi mengumpul dana sebanyak RM35,000 bagi kempen kemanusiaan membantu golongan susah di Bosnia-Herzegovina.

Diana berkata, projek di bawah organisasi Islamic Relief Malaysia itu baru dimulakan semalam untuk mengumpul derma daripada orang ramai sehingga 23 Mei ini.

“Projek ini dibuat sempena Ramadan di mana saya sasarkan untuk mengumpul sebanyak RM35,000 sehingga tarikh akhir itu. Projek ini sepenuhnya bagi membantu rakyat Muslim susah di negara itu.

“Saya faham, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini agak susah untuk kita semua terutamanya bab menderma. Namun, saya percaya setiap pertolongan yang disalurkan pasti ada hikmahnya tersendiri.

“Jika melepasi angka sasaran kutipan itu sebelum 23 Mei nanti, saya berbesar hati untuk terus menerima derma berterusan. Saya mahu projek ini membuka mata ramai untuk berbakti dan maklum dana itu disalurkan ke mana,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan membantu warga Bosnia, Diana berkata, ramai mungkin tidak peka mengenai kesusahan orang Islam di sana sehingga saat ini terutama sekali sepanjang Ramadan.

“Masih ramai rakyat di sana trauma dengan peperangan yang pernah berlaku. Banyak yang masih berdepan kesusahan hidup termasuklah golongan ibu tunggal.

“Jadi, saya ingin mengajak semua untuk membantu sama dalam misi menyalurkan bantuan kepada mereka. Sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban mereka tidak kiralah sekecil mana pun derma diberi,” katanya.

Untuk projek berkenaan, Diana melancarkan laman web khas iaitu launchgood.com/dianabalkan bagi mengumpul derma berkenaan.

Bukan setakat di Malaysia, platform berkenaan juga boleh diakses secara global.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan