ANNYEONGHASEYO! Tidak mahu terikat sebagai artis berkumpulan, Red Velvet kini mengorak langkah meluaskan cabang rangkaian karier dengan menubuhkan sub unit pertama yang menampilkan Seulgi dan Irene sebagai anggotanya.

Walaupun belum mengumumkan nama rasmi untuk sub unit berkenaan, agensinya SM Entertainment mengesahkan mengenai penubuhan itu. Malah, duo berkenaan sudah pun mempersiapkan diri untuk diperkenalkan.

Peminat juga tidak perlu risau mengenai gabungan itu memandangkan Seulgi dan Irene bakal tampil dengan album. Jelas, penubuhan sub unit itu sudah dirancang dengan rapi dan tersusun.

“Seulgi dan Irene sedang menyiapkan album sulung mereka. Tarikh pelancaran album berkenaan akan diumumkan sebaik keseluruhannya siap, kata jurucakap agensi terbabit.

Terdahulu, sebuah akhbar di Korea Selatan melaporkan dua penyanyi berkenaan menghasilkan lagu baru untuk sub unit itu. Itupun selepas enam tahun Red Velvet diperkenalkan dalam industri muzik.

Ramai tidak menyangka dengan penubuhannya memandangkan nama Red Velvet sudah kukuh. Selain itu, anggotanya juga cemerlang sebagai penyanyi solo.

Menurut laporan itu juga, belum ada tarikh tetap bila sub unit berkenaan diperkenalkan disebabkan masih dalam perbincangan.

Apapun, Seulgi dan Irene dikhabarkan berkerja keras memastikan untuk memberi yang terbaik.

Gabungan mereka berdua sudah dinantikan lama oleh peminat. Tentunya keputusan itu mencetuskan provokasi daripada peminat baik di Korea Selatan mahupun luar negara.

Sebelum menganggotai Red Velvet, aura mereka berdua juga terserlah ketika masih bergelar pelatih di agensi terbabit. Mereka memiliki ciri penghibur semula jadi.

Hakikatnya, mereka antara penghibur yang sangat bertenaga dan sentiasa beri persembahan penuh menggoda. Kelebihan itu menyebabkan kedua-duanya menonjol dan sentiasa mendapat pujian.

Walaupun mendapat pertikaian sesetengah peminat, gabungan itu jelas satu pertaruhan terbaik untuk mengukuhkan nama mereka. Bukan saja memiliki visual cantik dan persembahan mantap, nyanyian mereka juga antara yang terbaik.

Berbekalkan pesona dan sokongan padu serta restu peminat, semestinya sub unit berkenaan paling dinantikan saat ini yang disifatkan sempurna serba-serbi. Seulgi dan Irene turut dijangka mampu mencipta fenomena tersendiri dalam masa terdekat.