Los Angeles: Penerbit dan komposer terkenal, David Foster menimang cahaya mata lelaki pada usia 72 tahun semalam hasil perkahwinan dengan isterinya yang juga penyanyi Katherine McPhee, 37.

Bayi terbabit adalah anak sulung dalam perkahwinan Foster dengan Katherine.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2019 selepas berkenalan sejak 2006.

Jurucakap penyanyi yang digilap bakatnya menerusi American Idol musim kelima itu berkata, Katherine dan bayinya berada dalam keadaan baik dan sihat.

“Ibu, bapa dan anak lelaki berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Bayi itu juga anak keenam buat Foster yang sebelum ini sudah memiliki lima anak hasil perkahwinan lalu iaitu Amy, Erin, Allison, Sara dan Jordan.

Foster pernah berkahwin dengan Yolanda Hadid yang juga ibu kepada peragawati tersohor, Bella dan Gigi Hadid.

Selepas berpisah, dia berkahwin dengan Katherine.

Dalam satu temubual sebelum ini, Katherine berkata, dia ada kebimbangan untuk membesarkan anak lelaki kerana banyak perkara perlu diajar.

“Membesarkan anak lelaki sudah pasti berbeza dengan anak perempuan. Lelaki ini ada banyak benda yang perlu diajar dan ia membuat saya risau jika tidak dapat menjadi ibu yang baik,” katanya.