Los Angeles: Model popular dan personaliti TV, Chrissy Teigen mengakui tidak selesa apabila diikuti Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di Twitter.

Isteri kepada penyanyi John Legend itu akhirnya meminta ‘putus’ selepas sebulan menjadi satu-satunya orang di luar Rumah Putih yang diikuti Biden di laman sosial itu.

“Saya ‘tweet’ banyak perkara sejak kesayangan saya @POTUS (President Of The United States) mengikuti saya,” kata Teigen menerusi Twitter, baru-baru ini.

Menurutnya, dia perlu membuat keputusan itu kerana mahu pandangannya terus berkembang. Keinginan Teigen itu akhirnya ditunaikan apabila tidak lama selepas itu memaklumkan dia bebas membahaskan apa sahaja isu tanpa ‘diawasi’ lagi.

Dalam satu laporan, Januari lalu Teigen mengakui gembira apabila permintaannya kepada Biden untuk mengikutinya di Twitter ditunaikan Presiden AS itu.

Teigen dengan sengaja memetik Biden menerusi satu ‘tweet’ meminta Presiden AS yang baharu ini mengikutinya. Ini kerana sebelum ini Teigen disekat bekas presiden, Donald Trump kerana kerap mengkritiknya.