CEF selebriti yang juga pengacara program masakan Apa Nak Makan Ni iaitu cef Naem berkongsi khabar gembira apabila isterinya kini hamil empat bulan.

Naem berkata, dia tidak menyangka isterinya, Nurul Syazwani Zulkaffli disahkan hamil secepat ini selepas mengalami keguguran pada November tahun lalu.

“Alhamdulillah berita yang amat menggembirakan, namun saya masih lagi terkejut apabila rezeki untuk menimang cahaya mata diberi dalam tempoh yang singkat kerana isteri baru saja keguguran sekitar November, tahun lalu.

“Namun, saya anggap rezeki ini sudah tertulis selepas hampir setahun menantikan kehadiran zuriat. Mungkin lain orang, berbeza-beza keadaannya.

“Apapun, sukar untuk saya gambarkan perasaan ini apabila bakal bergelar bapa tak lama lagi. Doakan semoga proses kehamilan ini berjalan lancar dan Inshaa-Allah bayi dijangka lahir pada Oktober depan,” katanya.

Menurut Naem, isterinya juga mengalami alahan teruk apabila tidak boleh menghidu minyak wangi yang dipakainya.

“Pada peringkat awal kehamilan, dia (isteri) mengalami alahan teruk apabila sering muntah-muntah.

“Malah dia juga tidak boleh menghidu minyak wangi yang saya pakai walaupun dia yang menghadiahkannya.

“Jadi apabila saya keluar memang tak sembur minyak wangi lah. Kalau perlu pakai pun saya akan guna di dalam kereta,” katanya.

Naem dan Syazwani mendirikan rumah tangga pada 10 Ogos 2018 di Jempol, Negeri Sembilan.