BERASAL dari bandar sama iaitu Kajang, Selangor. Gabungan antara senior dan junior yang sama-sama meminati muzik reggae ketika itu akhirnya mewujudkan kumpulan Rosewood pada 2000.

Rosewood terdiri daripada Achoi (gitar & penyanyi), Wak (gitar & penyanyi), Wan (gitar utama), Ery (bass), Marwan (keyboard), Azfar (drum), Firdaus (bass), Nami (perkusi), Abid (perkusi) dan Hafiz ( penyanyi tambahan).

Achoi berkata, mereka bermula dengan melepak bersama, berkongsi minat dan jamming serta seterusnya menonton gig bersama.

“Dari situ tercetus idea untuk tubuhkan band. Kebetulan selepas itu ada pertandingan Battle Of The Band anjuran sebuah kolej di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2002. Kami cuba nasib bertanding dan menang. Jadinya Rosewood terus bergerak dan bertahan sampai sekarang. Namun, dalam tempoh itu anggota kami bersilih ganti,” katanya.

Menurut Achoi, peristiwa menyedihkan turut dilalui mereka apabila seorang daripada anggota asal meninggal dunia sebelum persembahan Rosewood.

“Persembahan kami berlangsung pada Sabtu, tapi dia meninggal dunia pada Khamis. Nak tak nak kami gagahkan diri juga buat persembahan sambil menahan perasaan sedih.

AKSI Rosewood dalam satu persembahan.
AKSI Rosewood dalam satu persembahan.

“Dalam Rosewood tiada konsep ketua, tapi memandangkan saya dan Wak adalah pengasas dari awal, maka kami boleh buat keputusan untuk band,” katanya.

Rosewood mula membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur selepas menghasilkan demo kaset berjudul Kembang Kempis pada October 2002.

“Kami seterusnya dapat undangan bermain gig di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Seremban, Johor, Pahang dan Perak.

“Antara persembahan terbesar ialah di Reggae Sun Splash bersama band reggae dari luar negara di Siloso Beach, Singapura pada 2004. Rosewood menjadi wakil Malaysia ketika itu bersama Gerhana Ska Cinta. Tahun 2016 Rosewood juga mendapat peluang untuk terbabit dalam 1st Malaysia Reggae Festival yang dianjurkan di Tanjung Tualang, Perak,” katanya.

Selain itu, mereka juga pernah menyertai Rock The World 7 dan mengikuti program realiti TV, Blast Off siri kedua.

Tidak ketinggalan, mereka sering mendapat nasihat dan ilmu daripada pemain industri muzik underground antaranya Rom ROTTW, Aru Republik Of Brickfields, Allahyarham Oz Republik Of Brickfields, Bakrie Gerhana Ska Cinta, Mie FTG, Iman Tang, Pickcell dan Khairul Artrax.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang sokong kami sejak dulu sampai sekarang. Kini kami dalam proses latihan dan penyusunan lagu terbaharu. Insya-Allah Rosewood akan keluar dengan EP kedua atau album selepas ini.

“Peminat yang belum memiliki EP pertama kami berjudul Reggae Cinta boleh mendapatkan info di Instagram rosewoodreggae dan Facebook, rosewoodkajang serta menonton muzik video di YouTube rosewoodreggae,” katanya.

TURUT berpeluang membuat persembahan dalam Tadom Music Festival di Tadom Hill Resort, Banting, Selangor.
TURUT berpeluang membuat persembahan dalam Tadom Music Festival di Tadom Hill Resort, Banting, Selangor.