MEMBUAT kerja rumah dan bermain badminton di halaman.

Itu antara ‘helah’ digunakan pelakon Zarina Zainuddin, 50, bagi mengawal dua anak istimewanya yang menghidap autism iaitu Azil dan Azal supaya mereka tidak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Zarina mengakui anaknya itu kurang faham mengenai situasi di luar dan dia terpaksa melakukan pelbagai helah demi memastikan mereka kekal duduk di rumah bersama ahli keluarga lain.

“Azil kerap berkeras mahu keluar kerana sudah terbiasa dengan rutinnya membeli barang sendiri sebelum ini. Dia tidak mahu kami yang pergi belikan untuknya. JIka dihalang, dia akan mengamuk dan mula mencederakan dirinya. Ketika itu saya perlu memujuknya dengan betul dan menerangkan mengenai bahaya di luar sana,” katanya.

Walaupun ada kelonggaran terhadap anak-anak autisme sepanjang tempoh PKP ini, namun Zarina lebih suka jika mereka duduk di rumah demi keselamatan masing-masing dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka bosan duduk di rumah dan melakukan sesuatu. Biasanya, saya akan suruh mereka buat kerja bersihkan rumah. Kami juga lakukan aktiviti seperti bermain badminton di halaman rumah,” katanya.

Bagaimanapun, sekali-sekala Zarina tetap membawa mereka keluar berdekatan kawasan rumah. Dia juga lega kerana dua anaknya itu patuh apabila diminta memakai penutup muka, mencuci tangan dan menjaga kebersihan serta mengambil langkah berjaga-jaga yang lain.

Dalam pada itu, Zarina mengakui hasil pendapatan perniagaan makanannya sedikit terjejas disebabkan PKP, namun bersyukur masih mampu menampung perbelanjaan keluarga.

“Terus-terang pendapatan agak terhad kerana saya memang bergantung sepenuhnya kepada jumlah pesanan. Berbeza sangat seperti sebelum ini kerana dapat keluar berniaga hingga ke Singapura. Mujur, simpanan peribadi masih ada. Cukuplah untuk menampung keluarga sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan