PELAKON dan pengacara Janna Nick memohon maaf selepas menimbulkan kebimbangan pengikutnya di Instagram apabila memuat naik foto wajahnya cedera seperti dipukul, baru-baru ini.

Janna berkata, foto dimuat naiknya itu adalah bertujuan menyahut cabaran untuk memberi kesedaran mengenai keganasan rumah tangga domestik.

“Terima kasih semua yang DM (mesej langsung) risau mengenai perkongsian lalu saya. Ada juga yang menghubungi pengurus saya dan marah-marah serta minta menghubungi polis. Maaf sangat-sangat.

“Saya ternampak cabaran #mugshot dan terfikir bagaimana saya boleh buat sesuatu yang berbeza untuk bantu membawa kesedaran terhadap perkara yang penting buat saya.

“Penderaan domestik adalah masalah serius yang kurang mendapat perhatian. Saya ingin membuka mata ramai mengenainya dan membantu untuk mewujudkan kesedaran,” katanya.

Pengacara Melodi TV3 itu juga berterima kasih kepada orang ramai yang mengambil berat mengenainya.

Janna turut menyeru kepada mangsa keganasan domestic supaya memberanikan diri tampil melaporkan insiden sebegitu kepada pihak berkuasa.

“Kepada mangsa atau sesiapa yang pernah menjadi mangsa keganasan domestik, jangan takut untuk bersuara, atau melepaskan diri apabila perlu.

“Anda lebih layak mendapat yang terbaik dan ingat itu, cintai diri anda. Terima kasih kepada semua yang bantu saya sebarkan mesej itu,” katanya.