ERRA Fazira meminta peminatnya supaya tidak terus mengikuti akaun Facebook menggunakan namanya yang menyebarkan beberapa kandungan tidak bermoral dan bersifat batu api.

Penyanyi lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara itu juga meminta peminat melaporkan akaun itu kepada pihak Facebook untuk menghentikan aktiviti tidak bermoralnya.

“Pada asalnya, itu adalah akaun Facebook saya yang kemudiannya digodam individu tidak bertanggungjawab beberapa tahun lalu. Namun, apabila laporan sudah dikemukakan kepada Facebook, ia hilang buat seketika.

“Semalam, ada kenalan yang memaklumkan kepada saya bahawa akaun itu memuat naik kandungan yang bersifat batu api sekaligus mencetuskan pelbagai komen daripada warganet,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia tak kisah jika ia digunakan untuk berniaga barangan yang halal. Namun, kandungannya banyak berkaitan perkara tidak bermoral termasuk menjual produk yang boleh dikatakan tak senonoh.

“Saya tak mahu ada pihak yang salah faham dan kalau boleh, tolong laporkan mengenai kewujudan akaun ini kepada pihak Facebook supaya aktivitinya dapat dihentikan,” katanya.

Sebelum ini, dia sudah menghebahkan supaya peminat dan pengikutnya berhenti mengikuti akaun itu selepas digodam.

Namun, sehingga kini masih ada lagi pengikut yang tidak tahu bahawa akaun itu adalah akaun palsu dan jumlah pengikutnya mencecah lebih 100,000 orang.