PELAKON Datin Niena Baharun menganggap komen netizen yang mendakwa bayi dalam kandungannya adalah ‘hasil’ daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  sejak 18 Mac lalu sebagai sesuatu yang lucu dan jenaka.

Niena yang kini hamil tiga bulan berkata, dia sudahpun menjelaskan perkara itu di mana dia disahkan hamil sebelum PKP lagi.

“Usia kandungan saya sudah masuk tiga bulan. Jadi, ia bukanlah anak PKP kerana ia hanya dilaksanakan tak sampai dua bulan. Saya tahu mereka sengaja nak mengusik saya memandangkan saya ada terbaca berita yang mengatakan ramai wanita bakal hamil sepanjang PKP dikuat kuasakan.

“Bagaimanapun saya tidak mengambil hati atau marah sebaliknya menganggap ia sesuatu yang lawak. Tak salah untuk saya melayan pertanyaan lucu mereka,” katanya.

Menurut Niena, Ramadan tahun ini sekali lagi menyaksikan dia hamil namun akan sedaya upaya menjalankan ibadah itu.

“Ketika mengandungkan anak sulung, Adiel Mikael ada beberapa hari yang saya tidak dapat berpuasa kerana keadaan diri yang tidak mengizinkan.

“Namun, kehamilan kedua ini saya masih belum ‘ponteng’. Harapnya diberikan kekuatan walaupun kali ini saya mengalami alahan agak teruk. Mungkin ini salah satu ujian yang Allah berikan,” katanya.

Niena mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi pada 1 Februari 2018.

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama pada 25 Oktober 2018. Bayi kedua ini dijangka dilahirkan pada Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan