ANNYEONGHASEYO! Selepas menjadi konsert paling dinantikan tahun ini, nampaknya hasrat peminat BTS untuk bertemu kumpulan idola mereka terbantut disebabkan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Siri konsert jelajah yang dinamakan BTS’s Map of the Soul itu sepatutnya bermula bulan ini di beberapa lokasi di seluruh dunia. Namun, jelas ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Agensi Big Hit Entertainment berjanji tidak akan menghampakan setiap peminat yang masih impikan bertemu kumpulan fenomena itu. Dalam kenyataannya, agensi itu mahu mengutamakan keselamatan semua pihak terlebih dahulu.

“Kami mengambil keputusan muktamad untuk membuat penjadualan semula siri jelajah Map of the Soul yang sepatutnya bermula April ini. Berikutan penularan Covid-19 di seluruh dunia, konsert di Seoul pada Februari lalu turut dibatalkan.

“Untuk konsert di Amerika Utara yang sepatutnya pada Mac ini juga terpaksa ditunda. Bagaimanapun, penjualan tiket untuk lokasi sekitar Eropah dan Jepun masih tetap berlangsung.

“Siri konsert jelajah itu membabitkan penyertaan ramai kakitangan dan kru serta logistik dari seluruh dunia. Walaupun keadaan di beberapa negara semakin baik termasuk Korea Selatan, sukar untuk buat keputusan berdasarkan perkembangan semasa itu,” katanya.

Agensi terbabit juga tidak mahu melanggar sekatan dari pelbagai negara yang masih dikuatkuasakan sekarang. Jadi, sukar untuk mereka mencari tarikh terbaik untuk memulakan semua siri konsert jelajah terbabit.

“Disebabkan konsert BTS turut membabitkan ramai peminat antarabangsa dan perlu melancong, sukar untuk meneruskannya berikutan sekatan serta kawalan pergerakan masih berlangsung.

“Amat mustahil buat masa ini untuk meramal bila konsert pertama akan diadakan. Disebabkan itu, kami buat keputusan untuk menggantung semua jadual siri jelajah yang diumumkan sebelum ini dan bakal membuat jadual baharu,” katanya.

Agensi itu turut menyeru peminat BTS untuk bersedia dengan situasi normal baharu yang dihadapi seluruh dunia sekarang. Mereka berjanji akan mencari inisiatif terbaik untuk menemukan mereka dengan kumpulan itu.

“Sekarang banyak pertimbangan perlu dibuat berikutan kebimbangan situasi Covid-19 mungkin terus merebak. Kami akan bekerja keras mencari alternatif baharu demi terus menghubungkan peminat dengan mereka.

“Ini adalah keputusan terbaik buat masa ini demi mengutamakan kesihatan dan keselamatan artis serta peminat. Kami sudah bersungguh-sungguh melakukan persiapan untuk siri jelajah itu dan sangat menghargai kesabaran anda semua,” katanya.

Siri konsert jelajah Map of the Soul awalnya dijadualkan bermula di Seoul pada 11, 12, 18 dan 19 April lalu, namun terpaksa dibatalkan.

Manakala konsert di Amerika Utara sepatutnya berlangsung hujung bulan ini dan di Eropah serta Jepun pada September nanti.