Seoul: Sensasi demam Kpop masih menguasai peminat di seluruh dunia apabila kumpulan popular BTS tersenarai sebagai artis paling banyak mendapat Tweet di Amerika Syarikat, tahun lalu.

Agensi mereka Big Hit Entertainment dalam satu kenyataan berkata, tinjauan terbaru di Twitter menunjukkan BTS menduduki tempat teratas diikuti Kanye West, Beyonce, Drake, Megan Thee Stallion, Harry Styles dan Bad Bunny.

Selain itu, tiga kumpulan Kpop lain yang tersenarai dalam carta 10 teratas ialah ATEEZ, NCT dan EXO.

BTS membuat kejutan luar biasa dalam kancah muzik Amerika Syarikat tahun lalu menerusi single bahasa Inggeris pertama, Dynamite yang berjaya mengungguli carta lagu Billboard Hot 100.

Mereka mencatat sejarah sebagai lagu pertama artis Korea Selatan yang menduduki tangga teratas mingguan Amerika Syarikat.

Mereka turut dicalonkan dalam Anugerah Grammy ke-63 menerusi kategori Persembahan Duo/ Kumpulan Terbaik.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2013 ini dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook.